Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan pada bulan Jun 2021 lalu, menimbulkan pelbagai reaksi. Pertamanya, ini merupakan kumpulan pelajar pertama yang menduduki SPM di dalam suasana pandemik, sehingga terpaksa dianjak tempoh peperiksaannya ke tahun 2021. Keputusan SPM ini sedikit sebanyak memberi petunjuk kepada keberkesanan usaha kita meneruskan hidup seharian di dalam norma baharu.
Keduanya, perjalanan pendidikan pelajar-pelajar ini tentunya tidak berakhir di sini sahaja. Pilihan meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi tetap perlu diteruskan, demi kelangsungan tahap pendidikan peribadi, dan juga kemajuan negara pada masa hadapan.
Apakah pilihan yang tersedia mampu menyediakan tawaran yang terbaik kepada kesemua pelajar ini meneruskan pendidikan masing-masing di peringkat lebih tinggi? Apakah kekangan yang terhasil akibat pandemik COVID-19 bakal memberi kesan kepada perjalanan pendidikan mereka kelak, terutamanya dalam mendepani cabaran dunia digital abad ke-21?
Sebelum melangkahkan kaki ke peringkat pengajian tinggi, pelajar sekolah lepasan SPM perlu menjalani sebuah fasa persediaan yang disediakan oleh pelbagai pusat pengajian, sama ada kerajaan atau swasta. Antaranya termasuklah pengajian tingkatan enam, matrikulasi, asasi, pra-universiti, diploma, dan sijil.
Setiap bentuk pengajian ini mempunyai laluan lanjutannya yang tersendiri, dan di dalam aliran yang telah ditentukan, sama ada sains atau sains sosial. Syarat kemasukan ke setiap bentuk pengajian pasca-SPM ini juga berbeza, namun sebahagian besarnya bergantung kepada tahap pencapaian di dalam SPM.
Bagi mereka yang bersekolah menengah dalam aliran agama, atau mempunyai minat untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang agama di universiti, mereka perlu mengikuti pengajian peringkat asasi terlebih dahulu selepas SPM. “Ini adalah kerana pelajar perlu mempunyai asas yang kukuh sebelum meneruskan pengajian kelak, terutamanya tahap penguasaan bahasa Arab dan bahasa Inggeris,” kata Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh, Pensyarah dan Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan.
Menurut Dr. Nor Hazrul lagi, pendedahan yang lebih mendalam di peringkat asasi ini akan menjadikan pelajar lebih bersedia untuk mengikuti bidang pengajian Syariah, Usuluddin atau Pendidikan Islam di universiti kelak.
Beliau juga berpendapat lulusan bidang agama tetap kekal relevan pada masa hadapan, biar pun dengan cabaran era digitalisasi dan teknologi maklumat. “Apabila dunia semakin terbuka, elemen pendidikan agama akan berperanan sebagai pengimbang. Ini akan menjamin kehidupan masyarakat pada abad ke-21 ini tidak tersasar daripada tujuan sebenar pendidikan dan kehidupan secara am.”
“Ini menunjukkan pengajian asasi aliran agama bukan hanya merupakan salah satu pilihan kepada pelajar lepasan SPM berdasarkan minat atau aliran semasa di sekolah, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan keperluan dalam menjamin kemakmuran dan kemajuan negara di dunia dan akhirat,” katanya.
Selain aliran berbentuk akademik, kerajaan dan pihak swasta juga menyediakan pilihan dalam bentuk aliran kemahiran atau vokasional (TVET) untuk pelajar lepasan SPM. Kerajaan Malaysia khususnya, amat komited dalam perkara ini, dengan penubuhan sebanyak 104 kolej komuniti di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran di peringkat sijil dan diploma.
“Sebahagian masyarakat masih menganggap pendidikan di kolej komuniti adalah kelas kedua, dan hanya untuk mereka yang gagal SPM. Ini adalah pandangan yang perlu diperbetulkan, kerana pendidikan TVET bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk berjaya di dalam bidang kemahiran yang dipilihnya, malah juga mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dalam bidang akademik kelak,” kata Puan Faridatuljana Mohd. Noor, Ketua Unit Keusahawanan di Kolej Komuniti Batu Pahat, Johor.
Menurut beliau, warga kolej komuniti telah diasuh dengan slogan ‘tidak penting di mana anda bermula, yang penting di mana anda berakhir’, yang membuktikan kesungguhan kolej komuniti menyediakan pilihan terbaik untuk semua golongan lepasan SPM, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi dan pencapaian akademik.
Selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030), penerapan ilmu keusahawanan telah dijadikan antara teras utama pengajian di kolej komuniti. Ciri-ciri usahawan seperti keberanian mempertahankan idea, mencipta ruang dan peluang untuk semua pemegang taruh, dan kemahiran menjalin hubungan, akan diterap kepada pelajar lepasan SPM yang memilih untuk ke kolej komuniti.
Lebih menarik, Puan Faridatuljana berpendapat pelajar dari kolej komuniti tidak rentan dengan cabaran yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0 kelak. “Dengan kemahiran teknikal dan ciri keusahawanan yang baik, pelajar dari kolej komuniti akan mampu bersaing dengan dunia pekerjaan yang dikatakan bakal dipenuhi dengan robot dan sistem automasi nanti. Jika mereka sentiasa berfikiran positif, bersikap terbuka, fleksibel, dan kreatif, saya yakin mereka pasti akan berjaya,” katanya mengakhiri temubual.
Penulisan ini telah dihantar ke Harian Metro untuk pertimbangan (Ed.)