5 February 2023

Pra-Bajet 2023: Lindungi kebajikan golongan M40

Featured

Kisah minggu ketigabelas

Sehari sebelum warga kampus mula bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, pasukan kami sempat menjengah Fakulti Kejuruteraan untuk merakamkan suasana kampus.

Memperkasakan ta’aruf, tafahum dan tasamuh dalam Masyarakat MADANI di Malaysia

Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Let’s craft an ideal 21st century city out of KL

Kuala Lumpur, the capital of Malaysia, has a rich history dating back to the late 1800s. It began as a small tin-mining settlement in the 1850s and was granted city status in 1972. During the late 19th and early 20th centuries, Kuala Lumpur developed rapidly as a centre of tin mining and trade, leading to increased immigration and economic growth.

Normalisasi sembang lucah: Mengemis perhatian murahan

Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah.

Ibu bapa pendamping tumbesaran anak-anak zaman digital

Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Share

Oleh: Dr. Elya Nabila Abdul Bahri

Isu kenaikan harga barang masih hangat diperdebatkan di kalangan masyarakat di tengah-tengah fasa pemulihan ekonomi negara. Masakan tidaknya, kos sara hidup melambung tinggi apabila ekonomi negara dibuka semula di fasa endemik setelah dua tahun bergelut dengan kawalan perintah pergerakan ekoran pandemik Covid-19 sejak 2020. Kos sara hidup bukan hanya melibatkan makanan dan minuman, bahkan juga barangan keperluan harian rumah dan kos perjalanan. Kenaikan harga barang antaranya disebabkan inflasi tarikan permintaan berikutan pembukaan semula ekonomi, inflasi tolakan kos penawaran ekoran kekangan di pihak pengeluar, krisis perang Rusia-Ukraine, gangguan rantaian bekalan, strategi kartel, manipulasi orang tengah, dan kenaikan gaji minimum. Dengan tekanan kadar inflasi yang terus meningkat ke 4.4 peratus berbanding 3.4 peratus pada Jun 2022, ditambah pula dengan nilai ringgit yang menguncup kepada RM4.65 berbanding 1 USD, maka ramai pihak yang mengeluh.

Golongan yang terkesan daripada kenaikan kos sara hidup majoritinya adalah dari golongan B40, iaitu golongan yang berpendapatan RM4,850 ke bawah di Malaysia. Sejak dari dahulu lagi pihak kerajaan memberikan perhatian untuk membantu golongan B40 untuk mengurangkan beban yang ditanggung mereka dengan pelbagai bantuan kewangan berbanding golongan M40. Golongan M40 sentiasa berlapang dada dengan melihat usaha membantu golongan lain adalah sesuatu yang murni.

Meskipun kerajaan memberikan lebih perhatian untuk membantu golongan B40, namun begitu, golongan M40 tidak boleh dilupakan. Meskipun golongan M40 berpendapatan melebihi B40, namun begitu, golongan ini tidak terlepas dari tekanan kos sara hidup yang berpunca dari masalah dalam mahu pun luar negara. Bahkan golongan M40 bukan sahaja berhadapan dengan tekanan ekonomi, sebahagiannya sukar untuk membeli rumah dan kereta disebabkan komitmen yang tinggi dalam pinjaman lain dan perbelanjaan harian.

Menurut dapatan kajian yang telah dijalankan oleh Universiti Malaya bersama Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini, seramai 61.4 peratus, golongan B40, 42.4 peratus golongan M40 dan 24 peratus golongan T20 merasakan pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Sebanyak 38.9 peratus, 26.9 peratus dan 11.5 peratus golongan B40, M40 dan T20 mempunyai pendapatan yang kurang daripada perbelanjaan, di mana kekurangan pendapatan ini terpaksa ditampung dengan berhutang.

Berdasarkan definisi golongan M40 daripada Jabatan Perangkaan Negara, golongan M40 adalah kumpulan pertengahan yang menikmati gaji dan pendapatan isi rumah antara RM4,851 sebulan sehingga RM10,970 sebulan untuk tahun 2022. Namun begitu, kadar ini adalah berbeza mengikut negeri. Sebagai contoh, golongan yang mempunyai pendapatan di antara RM9,150 hingga RM16,639 merupakan golongan M40 bagi penduduk Kuala Lumpur, manakala golongan M40 di Kedah adalah golongan berpendapatan di antara RM3,710 hingga RM7,549.

Takrifan golongan M40 diukur melalui tahap pendapatan, di mana golongan berpendapatan melepasi RM4,850 di Malaysia kebanyakannya bekerja di bandar berbanding luar bandar. Kos sara hidup di bandar adalah tinggi dengan peningkatan harga makanan, tambang perjalanan, tol, pusat penjagaan anak dan pelbagai lagi keperluan rutin seharian. Sebahagian daripada golongan M40 masih menyewa dan tidak mampu membeli rumah. Berbanding golongan B40, majoritinya adalah berada di luar bandar, dan juga merupakan golongan yang layak menerima pelbagai bentuk bantuan.

person wearing suit reading business newspaper
Golongan M40 juga memerlukan bantuan di dalam keadaan ekonomi yang suram disertai dengan kadar inflasi yang tinggi (Gambar hiasan oleh Unsplash)

Kebanyakan orang dari kumpulan M40 merupakan pentadbir, birokrat, penjawam awam yang mempunyai tanggungjawab besar dalam melaksanakan tugasan dari peringkat atasan kepada peringkat bawahan. Tambahan pula, golongan M40 merupakan pembayar cukai paling ramai di Malaysia iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah pembayar cukai. Di Malaysia, hanya individu yang pendapatan bulanannya melebihi RM3,111 ditaksir dan dicukai. Ini bermakna semua golongan M40 adalah pembayar cukai yang sebahagiannya menyumbang kepada kutipan cukai berjumlah RM174.37 bilion pada tahun 2021.

Maka pihak kerajaan sedang mengambilkira kebajikan golongan M40 dalam belanjawan 2023 yang akan datang. Kategori bantuan M40 selepas ini akan lebih bersasar dan fokus kepada pecahan kategori yang ingin dibantu kerajaan termasuk golongan bujang di Malaysia. Usaha kerajaan ini dijangka akan mengurangkan beban golongan M40 di mana ianya juga sebagai suatu ganjaran bagi golongan pembayar cukai ini. Manfaat yang bakal diperolehi golongan M40 juga dijangka menjadi suatu motivasi kepada golongan ini untuk terus menyumbang kepada negara dalam pelbagai bentuk sumbangan.

Selain itu, pihak kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menarik balik subsidi petrol secara pukal. Sekiranya golongan M40 mendapat manfaat daripada subsidi petrol, manfaat yang mereka perolehi sepatutnya tidak boleh disekat. Golongan-golongan ini juga perlu dihargai sebagai pembayar cukai. Ini kerana penarikan balik subsidi petrol akan menyebabkan kenaikan harga barang lagi ekoran kenaikan kos secara berantai pada masa akan datang.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di elyanabila@um.edu.my