5 February 2023

Profesion ukur bahan pacu pembangunan negara

Featured

Kisah minggu ketigabelas

Sehari sebelum warga kampus mula bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, pasukan kami sempat menjengah Fakulti Kejuruteraan untuk merakamkan suasana kampus.

Memperkasakan ta’aruf, tafahum dan tasamuh dalam Masyarakat MADANI di Malaysia

Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Let’s craft an ideal 21st century city out of KL

Kuala Lumpur, the capital of Malaysia, has a rich history dating back to the late 1800s. It began as a small tin-mining settlement in the 1850s and was granted city status in 1972. During the late 19th and early 20th centuries, Kuala Lumpur developed rapidly as a centre of tin mining and trade, leading to increased immigration and economic growth.

Normalisasi sembang lucah: Mengemis perhatian murahan

Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah.

Ibu bapa pendamping tumbesaran anak-anak zaman digital

Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Share

Oleh: Dr. Mahanim Hanid, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd. Suhaimi Mohd. Danuri

Industri pembinaan memberikan sumbangan penting kepada ekonomi melalui pertumbuhan KDNK dan merangsang pertumbuhan sektor lain dalam negara. Industri pembinaan melibatkan ramai pemain industri seperti pihak klien, perunding profesional, pihak berkuasa tempatan, kontraktor dan pembekal. Perunding ukur bahan adalah antara perunding profesional yang terlibat dalam pembangunan dan pelaksanaan sesebuah projek terutama dalam memberi nasihat berkenaan kos projek, perolehan serta pentadbiran kontrak.

Pada dasarnya, perkhidmatan profesional yang disediakan oleh juruukur bahan profesional boleh dikategorikan kepada dua bahagian, iaitu perkhidmatan asas dan perkhidmatan tambahan. Skop perkhidmatan asas merangkumi penyediaan anggaran kos awal pembangunan projek, memberi nasihat tentang anggaran kos berkenaan pembangunan reka bentuk projek, memberi nasihat mengenai perolehan, tender dan prosedur kontrak, penyediaan dokumen tender, membuat panggilan tender dan penilaian tender, penyediaan kontrak, penilaian kerja yang dilaksanakan di tapak untuk tujuan pembayaran kemajuan kerja serta penyediaan akaun akhir projek.

Selain perkhidmatan asas yang dinyatakan di atas, peranan juruukur bahan juga meliputi perkhidmatan tambahan seperti penyediaan kajian kebolehlaksanaan sesuatu projek, unjuran anggaran perbelanjaan projek dan jangkaan aliran tunai pendapatan, penilaian pra kelayakan kontraktor, kajian kos ekonomi binaan semasa peringkat reka bentuk, pengurusan projek pembinaan, kos kitaran hayat, penilaian tuntutan kontrak untuk kes litigasi dan timbang tara, pengukuran semula untuk kontrak yang berdasarkan kuantiti sementara dan penilaian tuntutan berkaitan dengan insuran.

An architect working on a draft with a pencil and ruler
Kerjaya juruukur bahan adalah keperluan di dalam industri pembinaan (Gambar hiasan dari Unsplash)

Di Malaysia, kerjaya profesional sebagai juruukur bahan di kawal selia oleh Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) melalui Akta Juruukur Bahan 1967 serta pindaan Akta yang terkini. Berdasarkan Akta tersebut serta garis panduan pendaftaran yang sedang berkuat kuasa, LJBM diberikan mandat untuk memberikan pentauliahan kepada seseorang yang berkelayakan sebagai Juruukur Bahan Profesional (PQS) atau Juruukur Bahan Konsultan (CQS) untuk digelar sebagai juruukur bahan dan menjalankan amalan ukur bahan. Perkhidmatan ukur bahan kepada klien tidak boleh diberikan melalui individu tetapi hanya boleh diberikan melalui firma ukur bahan berdaftar yang diberikan permit oleh LJBM berdasarkan syarat yang ditetapkan.

Setiap program ukur bahan di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang ditawarkan oleh penyedia pendidikan tinggi di Malaysia perlu mendapatkan akreditasi melalui proses penilaian yang dilaksanakan oleh Majlis Akreditasi Ukur Bahan sebagai salah satu jawatankuasa di bawah LJBM dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Disamping itu, terdapat juga penyedia pendidikan tinggi luar negara yang beroperasi di Malaysia atau di luar Malaysia yang juga memperolehi akreditasi ini. Senarai program ukur bahan yang memperolehi akreditasi ini boleh diperolehi melalui laman sesawang LJBM.

Program Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan di universiti tempatan juga bukan hanya mendapat akreditasi dari LJBM. Program ukur bahan di Universiti Malaya umpamanya juga diakreditasi di peringkat antarabangsa oleh Royal Institution of Chartered Surveyors (RICS), UK dan Pacific Association of Quantity Surveyors (PAQS). Hanya graduan dari program Sarjana Muda Ukur Bahan yang diakreditasi oleh LJBM layak untuk memohon pendaftaran sebagai Provisional Quantity Surveyor atau dahulunya dikenali sebagai Juruukur Bahan Siswazah. Graduan yang telah mendaftar sebagai Provisional Quantity Surveyor akan layak untuk menaik taraf kategori pendaftaran kepada Juruukur Bahan Profesional (PQS) dan seterusnya Juruukur Bahan Konsultan (CQS) jika berjaya memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh LJBM.

Susulan kemunculan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan bagi mengukuhkan daya saing, juruukur bahan perlu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan seiring dengan perkembangan teknologi dan digitalisasi industri pembinaan negara. Bagi mengoptimumkan manfaat daripada 4IR ini, kerajaan juga telah merangka Dasar 4IR Negara dengan bertujuan mempersiapkan negara untuk menguasai 4IR. Malah Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia serta kerjasama pihak berkepentingan dalam industri pembinaan telah membangunkan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 (2021-2025) bagi membantu industri pembinaan mendepani 4IR ini. Kemampuan menguasai 4IR ini akan membolehkan firma ukur bahan meningkatkan produktiviti melalui integrasi dan automasi. Sebagai contoh, kemajuan teknologi seperti penggunaan perisian Building Information Modelling (BIM) mampu meningkatkan kecekapan dan ketepatan anggaran kos dan pengurusan projek, dengan memperbaiki koordinasi dan komunikasi antara semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek.

in progress building structure photo
Juruukur bahan membantu memastikan projek pembinaan dijalankan secara kos efektif (Gambar hiasan dari Unsplash)

Lulusan ukur bahan mempunyai peluang pekerjaan yang luas, bukan hanya terhad dalam sektor yang berkaitan dengan pembinaan bangunan. Lulusan ukur bahan kini berada dalam sektor berkaitan undang-undang, minyak dan gas, tenaga, telekomunikasi, air, perbankan dan juga insuran. Kemahiran dan pengetahuan dalam bidang perolehan dan kontrak serta pengurusan projek juga membolehkan lulusan ukur bahan berkhidmat di syarikat berkaitan sektor makanan dan minuman seperti Starbucks dan McDonald’s.

Kini, firma ukur bahan telah meneroka pelbagai projek khas bagi memberikan khidmat ukur bahan untuk projek berkaitan rawatan air, rawatan kumbahan, tenaga boleh diperbaharui, mitigasi banjir dan konservasi. Pengetahuan dan kemahiran berkenaan kos, perolehan dan kontrak, serta pengurusan projek di samping penguasaan teknologi mampu memastikan profesion ukur bahan ini kekal relevan seiring dengan peredaran zaman.

Penulis merupakan pensyarah di Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mahanim@um.edu.my