Oleh: Dr. Shanina Sharatol Ahmad Shah, Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Baru-baru ini terdapat banyak keluhan dari ibubapa yang terpaksa membantu anak-anak yang bergelut menyiapkan dan menyelesaikan masalah kerja sekolah. Bukan kerana kerja sekolah yang banyak tetapi kerana anak-anak tidak dapat menguasai apa yang dipelajari oleh kerana tahap kesukaran topik yang diajar itu. Dalam erti kata lain, ianya mungkin dianggap sukar kerana tidak sesuai dengan tahap kognitif seseorang murid itu. Apabila ini berlaku, sudah tentunya anak anak akan berasa kecewa kerana tidak dapat menyelesaikan kerja sekolah tersebut dan ini akan membawa kepada wujudnya konflik antara guru, murid dan ibubapa. Apa yang diajar di sekolah dalam waktu yang singkat tidak dapat dikuasai sepenuhnya oleh murid dan bukan semua ibubapa mampu membantu anak memahami atau menyelesaikan sesuatu masalah kerja sekolah itu. Masalah ini bukan sekadar masalah pemilihan topik yang tidak bersesuaian dengan usia, ianya adalah masalah di mana pemilihan topik tidak diselarikan dengan tahap kognitif murid. Hakikatnya, setiap kanak-kanak adalah berbeza, walaupun dalam keluarga yang sama, apatah lagi dalam sesuatu bilik darjah.
Ada beberapa sebab sesuatu topik itu sukar untuk murid memahami. Pertamanya, pengetahuan tentang sesuatu topik itu tidak wujud dalam pengetahuan sedia ada seseorang murid itu. Yang kedua, topik yang diajar itu adalah berbeza dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada seseorang murid. Yang terakhir, setiap topik mempunyai terlalu banyak informasi yang merupakan dalam bentuk fakta. Fakta-fakta yang terlalu banyak ini tidak diberikan makna untuk ianya mudah difahami dan supaya ianya kekal lebih lama di dalam memori.
Bayangkan jika satu subjek mempunyai banyak topik utama dan di dalam setiap topik utama itu ada lagi beberapa sub topik yang kebanyakannya merupakan fakta, sudah tentu ia akan menjurus kepada ‘cognitive overload’ atau beban kognitif. Informasi yang terlaku berat jika diberikan sekaligus akan membawa kepada fenomena ini. Ini mengakibatkan fikiran anak anak menjadi huru, hara, tidak teratur dan tidak fokus. Ianya tidak teratur kerana fakta fakta ini gagal dikaitkan dengan pengetahuan dan pengalaman sedia ada murid. Ianya juga boleh disebabkan bahasa yang digunakan adalah berbeza dengan bahasa yang digunakan untuk memahami topic tersebut. Beban kognitif berlaku apabila ‘working memory’ atau memori kerja kita berada dalam keadaan keterlaluan sehingga tidak dapat menampung jumlah informasi yang banyak dan tidak teratur. Jika kita pernah mengalami situasi signal wifi yang perlahan atau sinki yang tersumbat, itulah ibarat situasi murid mengalami bebanan kognitif. Oleh itu amat penting untuk penggubal silibus dah juga guru untuk berasa empati dengan memahami dan mengambil kira kapasiti juga kekuatan memori kerja murid untuk membantu mereka menguasai sesuatu topik dengan lebih berkesan.
Walaubagaimanapun, untuk guru, kesukaran topik boleh diatasi dengan merangka pelan pengajaran yang membantu murid memahami perkara asas sebelum membawa murid memahami konsep yang lebih kompleks. Oleh itu, perubahan dari segi strategi pengajaran mesti dilaksanakan untuk mengurangkan bebanan kognitif ini untuk mengaktifkan bahagian pemikiran otak. Antara cadangan yang boleh dipraktikkan oleh guru untuk membantu murid lebih memahami sesuatu topik yang sukar adalah membawa murid atau mengaiktkan sesuatu topik itu kepada pengetahuan sedia ada murid. Bahasa yang digunakan oleh guru perlulah bersesuaian dengan bahasa yang mudah difahami oleh murid. Murid sekolah rendah tahap satu mungkin tidak faham istilah ‘mencari nafkah’, bekerja sendiri, ‘makan gaji’, maka contoh-contoh berkaitan menggunakan bahasa yang mudah melalui metod dan strategi pengajaran yang bersesuaian. Aktiviti seperti penceritaan yang mengaitkan dengan pengalaman sedia ada murid, mungkin akan lebih berkesan.
Menunggu silibus diubah dan disesuaikan dengan kognitif murid mungkin mengambil masa yang lama. Oleh itu amat penting untuk guru memahami dan mempraktikkan pembelajaran kognitif untuk membantu mereka merangka rancangan pengajaran yang berkesan untuk mengajar topik topik yang mungkin sukar ini. Ianya dapat membantu murid untuk belajar dengan lebih berkesan dan guru juga dapat menjadi pemudahcara dan mencetus minat untuk murid terus belajar.
Kesukaran silibus ini perlu juga dilihat dari sudut pandang psikologi. Bebanan kognitif yang berpanjangan boleh melahirkan kesan stres dan kebimbangan terhadap pelajar. Stres kerana anak-anak ini mula terasa yang mereka tidak pandai dan tidak boleh memahami sesuatu perkara berbanding murid lain di sekolah. Sekiranya ini tidak dibendung, stres akut ini boleh menyebabkan terlahirnya stres kronik, iaitu kesan berpanjangan yang boleh memudaratkan diri para pelajar. Kesihatan murid boleh terganggu disebabkan ketakutan untuk ke sekolah kerana faktor bimbang mereka tidak setanding atau sebaik pelajar lain. Secara tidak langsung ini boleh menurunkan minat hadir ke sekolah dan seterusnya terhadap pembelajaran.
Tidak mustahil semakin ramai pelajar apabila semakin meningkat dewasa lebih berminat untuk bekerja dari menyambung pelajaran sekiranya perkara ini tidak dipandang serius.
Dr. Shanina Sharatol Ahmad Shah merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, manakala Dr. Azmawaty Mohamad Nor adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my