Oleh: Dr. Madiha Baharuddin
Menelusuri kisah dan drama pasca keputusan PRU15 sehingga kini, adalah tidak keterlaluan jika ia diibaratkan sebagai suatu renjatan minda kepada ahli politik mahupun rakyat pengundi biasa. Bermula dengan episod di mana buat julung kalinya semenjak kemerdekaan pada tahun 1957, tiada parti politik yang berjaya mendapat majoriti untuk terus membentuk kerajaan pasca keputusan PRU15 ini. Renjatan tersebut seakan mimpi yang tidak diduga bila mana boleh terjadi di alam nyata hasil dari peristiwa yang telah berlaku. Di sinilah kematangan politik serta rasional ahli politik dan rakyat teruji, dalam usaha untuk menentukan halatuju dan kemajuan Malaysia negara yang tercinta ini.
Renjatan kepada dunia politik ini perlu dilihat dari sudut golongan pemimpin parti politik dan dari sudut rakyat sebagai pengundi biasa. Sebagai ahli politik yang telah bertanding, samada menang atau kalah, PRU15 kali ini pasti merupakan renjatan bermakna kepada mereka yang aktif mengamalkan politik matang di dalam gelanggang ini. Ia juga perlu dilihat dalam konteks peranan masing-masing sebagai mewakili kerajaan, mahupun sebagai pembangkang. Bermula dengan kesepakatan yang berjaya dicapai di negeri Perak bagi membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan, di sinilah berlakunya renjatan minda di kalangan pemimpin parti politik, yang mempunyai ideologi yang berbeza, yang telah berperang psikologi semasa kempen PRN dan PRU, namun apabila tunjang matlamatnya adalah untuk mendapatkan natijah sebaik mungkin untuk rakyat negeri Perak, maka tertubuhlah Kerajaan Perpaduan itu dengan kebijaksanaan dan perkenan Baginda Sultan Perak Darul Ridzuan. Ia kemudiannya diteruskan di peringkat kerajaan persekutuan, dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Bagi rakyat sebagai pengundi biasa, mereka seakan-akan terpinga-pinga dan direnjat bilamana suatu keadaan atau situasi yang dianggap seperti minyak yang tidak boleh bercampur dengan air, akhirnya mendapat satu titik pertemuan yang diharapkan boleh menjadi resipi baharu yang merancakkan lagi politik kepartian dan rasional pengundi dalam membuat pilihan masing-masing pada PRU yang akan datang. Di sinilah peluang kerajaan baharu yang terbentuk untuk membuktikan kepercayaan rakyat kepada mereka, dengan menterjemahkan apa yang dilaung-laungkan selama ini adalah untuk rakyat, dan tidak hanya bersifat retorik semata-mata.
Selain itu, Malaysia menerima reaksi positif dari seantero dunia melalui ucapan tahniah kepada pelantikan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke-10 yang baharu. Situasi ini jangan hanya dilihat kepada pengaruh individu dan aura positif PM ke-10 sahaja, tetapi perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar, iaitu ia sebagai indikator pengiktirafan kepada kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Itulah contoh lain renjatan minda yang telah berlaku sama ada disedari atau tidak kepada ahli politik khususnya, atau kepada rakyat Malaysia secara umumnya.
Melangkah ke hadapan, marilah kita sebagai rakyat Malaysia yang tercinta ini bersama-sama berganding bahu “menyahcaskan” renjatan ini, dalam usaha mengharungi pancaroba yang mendatang, dengan harapan renjatan kepada politik matang ini bakal mengundang kebaikan buat kita semua.
Galah yang panjang mengait buah
Buah dapat pokok tak rosak
Beralah itu tak semestinya kalah
Menang pula di mata khalayak
Lihat awan dan langit cerah
Namun di jalan seperti berair
Nekad ke hadapan tanpa gundah
Demi Negara dan tanah air
Penulis merupakan pensyarah kanan di Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di madiha@um.edu.my