Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Laungan keramat yang bergema memenuhi ruangan stadium Merdeka Kuala Lumpur 31 Ogos 1957 merupakan lambang jati diri rakyat Malaysia yang melestarikan jiwa merdeka mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan keanekaan etnik Malaysia.
Sambutan Hari Kemerdekaan merupakan simbol yang mencerminkan hati nurani rakyat Malaysia dalam menjalinkan semangat kerjasama, pembentukan jati diri dan semangat toleransi yang tinggi.
Kita percaya semenjak laungan merdeka itu, rakyat Malaysia khususnya umat Melayu belum tercabut dari akar kelslamannya. Pun begitu, kita masih terus memerlukan pewujudan dinamika rakyat Malaysia yang ampuh. Tidak salah menoleh kepada sejarah untuk memperteguhkan asas pengukuhan tamadun dan peradaban ini. Sejarah telah mengajar kita bahawa memutuskan diri dari akar budaya sendiri dan menerima budaya asing secara total tidak dapat menjadikan sesuatu bangsa itu kuat dan maju. Justeru, rakyat Malaysia khususnya umat Melayu-Muslim perlu sentiasa menonjolkan keperibadian yang kukuh dan berpijak kepada jati diri bangsa dan budaya Islam yang jitu dalam mengemudikan negara.
Sehubungan dengan itu, penyegaran dinamika rakyat Malaysia sewajarnya memberi pemaknaan sebagai bangsa yang dikembalikan kepada akar budaya tradisinya. Istilah budaya tidak terbatas kepada maksud seni dan hiburan semata-mata. Realitinya, budaya merupakan suatu isu yang serius dengan cakupan bidang yang amat luas meliputi soal falsafah, pemikiran, ilmu, kesenian, artifak dan aspek-aspek cara hidup lainnya. Namun pengertiannya yang semakin sempit dan dangkal telah meletakkannya hanya sebagai satu istilah yang mengungkapkan soal kesenian dan hiburan. Budaya memahamkan kita mengenai dasar-dasar kehidupan dan masa hadapan rakyat.
Dengan ungkapan lain; rakyat Malaysia yang diperbaharui komitmen keyakinannya dan peradabannya melalui proses transformasi manusiawi yang memberikan jiwa dan citra baru kepada rakyat Malaysia; suatu revolusi budaya yang memberikan mereka seperangkat nilai-nilai dinamik dan sebuah revolusi intelektual yang mengakhiri zaman budaya tahyul dan memulakan tamadun dan peradaban ilmu.
Kita sedia maklum bahawa ilmu pengetahuan mengenal tuhan adalah pengetahuan yang paling tinggi dan teragung. Apatah lagi dalam perspektif ilmu akidah Islam. Ini kerana setiap individu yang mengimani Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang Maha Esa memiliki jiwa merdeka yang mampu mengislahkan bangsanya. Bangsa yang berkualiti pula merupakan bangsa yang membawa makna, positif dan mampu bertahan menggalangi taufan sejarah Ini membawa maksud bahawa semestinya bangsa ini merupakan bangsa yang berjiwa merdeka, sensitif dan sentiasa cakna dengan maruah dan martabat bangsanya. Pastinya juga merupakan bangsa yang bebas daripada jiwa perhambaan, penghinaan tetapi sebaliknya kaya dengan cita-cita dan daya usaha mempertahankan martabat keinsanannya.
Kita tidak nafikan bahawa penjajahan yang berabad turut meninggalkan kesan penjajahan hamba dalam kalangan segelintir rakyat Malaysia yang masih lagi keterlaluan mengkagumi Barat sehingga sanggup menjalani gaya hidup kelnggerisan. Bahkan segelintirnya turut terlalu bergantung kepada bangsa lain dalam menggapai kemajuan dan hanya menerima tanpa usaha yang turut mengakibatkan kemunduran dalam diri dan umat.
Abdullah Yusuf Ali mengungkapkan bahawa keseluruhan penciptaan manusia berpunca daripada pasangan Adam dan Hawa. Ini selaras dengan ayat 1 surah al-Nisa’ yang bermaksud:
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu”
Justeru, perbezaan etnik, sosiobudaya, anutan kepercayaan dan sebagainya itu merupakan elemen utama yang perlu dikenal dan difahami dalam usaha menjalinkan hubungan antara umat manusia yang menatijahkan jaringan interaksi. Ia tidak terbatas hanya sesama umat manusia seagama dan seakidah, tetapi lebih luas lagi antara umat beragama. Jalinan interaksi ini amat penting dalam mewujudkan kesatuan kemanusiaan dan perpaduan sejagat. Jalinan antara penganut agama ini adalah selaras dengan sifat dan ciri agama Islam. Ini kerana, Islam bukan agama yang mengajar umatnya untuk memencilkan diri apatah lagi memisahkan diri dari tradisi keagamaan lain, hanya kerana berlainan agama dan budaya.
Sementelah, tema hari Kebangsaan 2021 ‘Malaysia Prihatin’ ini bertepatan dengan situasi pentadbiran negara, pembangunan ekonomi dan pengukuhan hubungan antara umat beragama dalam suasana pandemik COVID-19 yang mencabar jati diri rakyat Malaysia. Sekalipun kita tidak nafikan, sumbangan keringat dan pelbagai usaha yang tidak mengenal lelah dan keluh kesah daripada setiap individu rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat pelbagai etnik yang mencerminkan aspirasi rakyat untuk merealisasikan Malaysia sebagai negara yang menyanjung toleransi beragama, melestarikan keharmonian dan mempastikan pembangunan agama, bangsa dan negara sebagai teras kesejahteraan negara, namun masih terdapat suara sumbang yang mempertikaikan semangat tersebut. Walaupun suara tersebut kedengaran sayup tetapi masih perlu diberikan perhatian agar tidak membarah.
Benar, kita menyaksikan implikasi pandemik ini mencetuskan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Malaysia akibat daripada kehilangan pekerjaan, desakan hidup yang menghimpit serta keperitan sektor ekonomi dan korporat bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Namun, sikap kesabaran, prihatin serta toleransi yang ditunjukkan oleh setiap individu mahupun negara untuk bersama-sama berhadapan dengan saat sukar inilah cerminan sebenar rakyat Malaysia bagi membina semula kekuatan ekonomi mengikut kadar kemampuan masing-masing. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Ini pasti.
Janganlah ada pula dalam kalangan rakyat yang taasub sifat syak wasangka atau mementingkan diri. Sifat sebegini boleh meruntuhkan nilai kepercayaan terhadap keharmonian serta kesejahteraan yang dibina di atas pengorbanan generasi sebelumnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya bersaksi serta bersumpah untuk taat dan setia dan bersama-sama membangunkan negara tercinta.
Perpaduan dan keharmonian yang sedia wujud ini diasaskan daripada kerjasama jitu atas kegigihan rakyat Malaysia menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan bukannya peperangan yang membuahkan kemanisan kejayaan kemerdekaan dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia dan negara sehingga kini hasil daripada dinamika jiwa merdeka. Bersyukurlah.
Selamat Hari Merdeka.
Penulisan ini telah diterbitkan Kosmo (Ed.)