Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
Ibadah korban merupakan sebuah manifestasi kehambaan hamba yang beriman kepada Allah dengan mengorbankan sebahagian kecil hartanya untuk diinfak ke jalan Allah. Oleh yang demikian, majoriti fuqaha menegaskan hukumnya adalah sunat yang dituntut ke atas setiap muslim setiap tahun.
Seperti ibadah yang berbentuk kehartaan yang lain, ibadah korban juga merupakan satu penghayatan bagi seorang hamba itu menzahirkan rasa kesyukurannya ke atas nikmat Allah SWT yang juga secara langsung dilihat sebagai tanda ketaqwaan:
Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu (surah al-Hajj, ayat 37).
Perkongsian nikmat
Pensyariatan ibadah korban ini sebenarnya mampu mendokong fungsi dan peranan zakat di dalam menampung kekurangan sosioekonomi, bagi mewujudkan keseimbangan di dalam sesebuah masyarakat. Ini dilakukan dengan sama-sama meraikan kepelbagaian hierarki status sosioekonomi manusia yang berbeza, iaitu perbezaan di antara yang kaya dan yang miskin.
Sekiranya zakat itu difardukan mengikut jenis harta, jumlah dan masa; korban pula disyariatkan mengikut jenis haiwan ternakan yang mampu disembelih bagi diagihkan secara sedekah dan hadiah. Jika zakat bertujuan untuk memenuhi keperluan berbentuk harta, ibadah korban pula adalah lebih tertumpu untuk membantu insan lain berkongsi nikmat Allah, melalu kesaksamaan dalam menikmati daging haiwan yang disembelih.
Jelas di sini terdapat matlamat yang jelas di sebalik ibadah ini yang bertujuan untuk menyemak semangat berkongsi nikmat Allah SWT sesama manusia. Para ulama juga menganjurkan agar daging korban tersebut dibahagikan kepada tiga: sebagai sedekah kepada fakir miskin, hadiah kepada yang kaya, dan sepertiga lagi adalah untuk diambil sendiri oleh pelaku ibadah korban sebagai mengambil kerberkatannya.
Tegasnya, perkongsian nikmat dan kurniaan Allah jelas tersurat di dalam ibadah ini bagi menyuburkan lagi semangat persaudaraan yang dibina dengan keimanan dan keislaman, sebagaimana firman Allah SWT:
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat (surah al-Hujurat, ayat 10).
Ketidakseimbangan pengagihan kekayaan
Data terkini dari World Inequality Report 2022 melaporkan 10 peratus golongan terkaya di dunia ini memiliki hampir 52 peratus kekayaan dunia, sementara 50 peratus rakyat termiskin hanya berkongsi sebanyak 8.5 peratus. Data ini sahaja sudah cukup membuktikan kepada kita bagaimana besarnya jurang kekayaan antara populasi yang kaya dan miskin di dunia ini. Hasilnya, golongan miskin dan tertindas akan sentiasa wujud, sementara golongan kaya yang oportunis pula terus menerus menguasai kekayaan dunia.
Ibadah korban, sama seperti ibadah infak yang lain seperti zakat, wakaf dan sedekah, adalah amat digalakkan oleh syariat kita bagi mewujudkan suasana perkongsian yang aman. Suasana ini tentunya mampu menyeimbangkan pengagihan kekayaan, yang kadang kalanya dirosakkan oleh manusia itu sendiri. Isu-isu negatif membabitkan perniagaan seperti monopoli, kartel, kemudahan kredit secara riba, dan muslihat di dalam perolehan harta, adalah antara contoh perbuatan jenayah yang telah merosakkan usaha menyeimbangkan agihan kekayaan tersebut. Hasilnya, wujudlah golongan yang merempat dan miskin di negaranya sendiri, walhal negaranya kaya dengan hasil dan komoditi khusus. Kerosakan ini jugalah yang menghasilkan golongan bangsawan yang kaya-raya walaupun berasal dari negara yang miskin dan kurang produktif, hasil manipulasi harta dan kuasa yang berlaku demi mengejar kepentingan peribadi.
Sebaliknya, sekiranya golongan kaya ini sudi berkongsi kekayaan mereka hatta sekadar 10 peratus sahaja sekali pun, ia pasti sudah mencukupi untuk menjayakan sebarang usaha pembasmian kemiskinan. Sayangnya, apabila sifat tamak dan mementingkan diri sendiri menjadi pegangan, ketidakseimbangan akan terus wujud dan meningkat sedikit demi sedikit.
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan dunia ini penuh dengan kenikmatan dan kurniaan yang tidak terkira, sebagaimana firmanNya:
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (surah al-Nahl, ayat 18).
Kenikmatan yang dikurniakan adalah amanah yang perlu digalas oleh setiap pemiliknya untuk disalurkan kepada jalan kebaikan dan manfaat. Nabi Muhammad SAW juga berpesan bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang banyak memberi manfaat kepada insan yang lain. Tambahan, Allah SWT pula yang Maha Mulia dan Tinggi dari menzalimi hambaNya dengan ketidakcukupan nikmat sebagaimana tegasNya:
Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya (surah Fussilat, ayat 46).
Walau bagaimanapun, kesemua nikmat itu hanya mampu dikecapi dengan sempurna sekiranya semangat berkongsi itu dipupuk, diurus dan disebarkan sebagaimana semangat yang wujud di dalam proses ibadah korban. Sebagaimana elok pengagihan daging yang dilakukan di dalam setiap ibadah korban yang kita laksanakan, sebegitu jugalah seharusnya pengagihan kekayaan negara perlu diuruskan. Keseimbangan kekayaan yang akan wujud kelak pastinya menjamin kelestarian sosioekonomi negara untuk masa akan datang.
Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my
Artikel bersempena Aidiladha ini telah dikongsi bersama media massa tempatan dan telah diterbitkan di Malaysia Gazette (Ed.)