15 February 2025

Manifestasi syukur dengan ibadah korban

Featured

Menyantuni mereka di pinggir ibu kota

Pada 29 Disember 2024, Seramai 40 orang pelajar dari...

Beyond these walls

By Dr Noralina Omar It was raining that afternoon. The...

Bila dia ‘halal’

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin Vape atau...

For our future

By: Lee Wai Guan, Dr. Mohd Istajib Mokhtar Imagine a...

Permata Kinabalu perkasakan mereka

Oleh: Muhammad Taftazany Abd Rahman Dalam era globalisasi yang pesat...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad

Bulan Zulhijjah bukan merupakan bulan yang asing bagi umat Islam kerana pada bulan ini disebutkan sebagai bulan pelaksanaan ibadah haji. Dalam bulan ini, bagi umat Islam yang tidak mendapat jemputan sebagai tetamu Allah ke Tanah Suci Mekah, pasti mereka akan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Ungkapan “Aidiladha” adalah terdiri daripada ungkapan “’Aid” yang bermaksud perayaan dan “al-Adha” iaitu merujuk kepada maksud “korban” atau pengorbanan. Maka, secara lafaz pun telah memberikan satu gambaran bahawa Hari Raya Aidiladha dirayakan dan diraikan dengan ibadah korban iaitu dengan menyembelih binatang seperti lembu, kambing dan kerbau yang disertakan niat untuk berkorban pada tahun ini.

brown concrete building during daytime
Ibadah korban adalah amalan yang amat digalakkan semasa sambutan Aidiladha – Gambar hiasan dari Unsplash

Sesuatu yang menarik untuk kita sama-sama hayati tentang Hari Raya Korban, pada kebiasaannya akan dikaitkan dengan pengorbanan terbesar Nabi Ibarahim AS yang telah bermimpi sebagai wahyu seorang nabi, untuk menyembelih anaknya sendiri yang dikasihi iaitu Nabi Ismail AS seperti yang dicatatkan dalam al-Quran pada surah al-Saffat ayat  101 hingga 102. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia (Ibrahim) akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. Gambaran dalam ayat ini sangat jelas bahawa Nabi Ibrahim AS dengan penuh kesungguhan mahu melaksanakan tuntutan wahyu tersebut. Pada masa yang sama, baginda memiliki seorang anak yang sangat taat dan menerima apa sahaja tuntutan yang sewajarnya mengikut perintah wahyu berkenaan. Boleh dikatakan kedua-dua sikap ayah dan anak ini melambangkan kepada suatu pengorbanan yang sangat besar, kerana pada awalnya sudahlah tidak ada anak. Kemudian, apabila telah besar, anak tersebut perlu dikorbankan pula. Sudah pasti, jika kita berada pada situasi itu, akan berasa goyah dan gundah gulana bagi melaksanakan tuntutan terhadap sesuatu yang baru dimiliki dan sangat disayangi.

Pada masa yang sama, tahukah kita bahawa ibadah korban adalah ibadah tertua di atas muka dunia, di samping solat dan juga puasa? Dalam al-Quran, Allah SWT mengisahkan tentang korban yang dilakukan oleh Qabil dan Habil, iaitu anak kepada Nabi Adam AS. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanya sanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Ma’idah, ayat 27).

Apa yang diceritakan ini, ada disebutkan oleh Imam al-Tabari dalam Tafsir al-Tabari dan juga al-Baghawi dalam Tafsir al-Baghawi, di mana ayat ini ada kaitan dengan perintah Allah SWT agar Nabi Adam AS memerintahkan kedua-dua anaknya Qabil dan Habil berkorban setelah arahan Allah kepada baginda untuk mengahwinkan anak-anaknya dengan cara Qabil dikahwinkan dengan kembar bagi Habil dan Habil dikahwinkan dengan kembar Qabil. Namun, Qabil membantah kerana pada kiraannya, kembar Habil tersebut tidak cantik seperti kembarnya sendiri. Korban yang diterima Allah, akan dapat mengahwini kembar Qabil tersebut. (Tafsir al-Tabari, 10: 201-203 & Tafsir al-Baghawi, 2:38)

Dalam peristiwa korban Qabil dan Habil ini, jelas menunjukkan bahawa korban adalah salah satu ibadah tertua yang telah disyariatkan sejak zaman Nabi Adam AS lagi. Cuma yang membezakan adalah cara pelaksanaan korban itu dan perkara yang akan dijadikan sebagai korban. Demikian ada sebahagian ulama menyatakan bahawa amalan ibadah korban juga wujud pada zaman Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS. Namun, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang mahu menyembelih anaknya Nabi Ismail AS lalu ditukar kepada seekor kibas menjadi kisah pengajaran yang popular dalam masyarakat Islam. Bahkan sesuai dengan syariat Nabi SAW untuk kita mengorbankan binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing, dan kerbau.

Korban walaupun pada dasar hukumnya adalah fardu kifayah yang sangat dituntut untuk dilaksanakan bagi yang berkemampuan, namun secara hakikatnya ia adalah ibadah yang sangat-sangat dituntut untuk dilaksanakan pada setiap tahun. Dalam erti kata bahawa, umat Islam yang ada kemampuan sama sekali tidak boleh untuk meninggalkan daripada melaksanakan ibadah korban ini. Bahkan, ia seolah-olah bukan lagi sebagai pilihan untuk tidak melaksanakannya, tetapi pilihan untuk tetap melaksanakannya setiap tahun. Hal ini adalah kaitan dengan satu keterangan daripada Nabi SAW, yang menyebutkan tentang keperluan berkorban setiap tahun.

Maksudnya: “Sesiapa yang diberikan kelapangan daripada hartanya, namun tidak mahu melaksanakan (ibadah) korban, maka jangan sekali-kali mendekati tempat solat kami.” Hadith riwayat Ahmad no.8273 dan Ibn Majah no.3123. Al-Hafiz Abu Tahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan. Ada ulama seperti Sheikh Syu’aib al-Arna’ut yang mengatakan bahawa sanad hadith ini lemah kerana terdapat seorang perawi bernama Abdullah bin ‘Ayyas yang dinilai lemah.

3 women and 2 men sitting on green grass field during daytime
Kegembiraan sekeluarga juga adalah sebentuk kurniaan Allah yang perlu disyukuri – Gambar hiasan dari Unsplash

Hadith ini sangat kasar bunyi, kerana seolah-olah pelaksanaan ibadah korban itu wajib kepada setiap orang yang berkemampuan hartanya. Bahkan, jika difikirkan kembali, keterangan daripada ayat al-Quran jelas menunjukkan kepada suatu tuntutan yang  sangat dituntut untuk dilaksanakan. Firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar, ayat 2, yang bermaksud: “Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” Dalam ayat ini, Imam al-Baghawi yang memetik pandangan Muhammad bin Ka`ab yang berkata bahawa, sebelum Nabi SAW diutus, masyarakat Jahiliyah ketika itu mereka bersembahyang bukan kerana Allah dan menyembelih binatang juga bukan kerana Allah. Jadi, selepas Nabi SAW diutus sebagai Rasul, baginda memerintahkan pada melaksanakan solat dan berkorban (menyembelih) hanya kerana Allah. Kata Ikrimah, ‘Ata’ dan Qatadah, yang dimaksudkan dengan solat tersebut adalah solat hari raya korban dan diminta untuk berkorban (iaitu menyembelih binatang ternakan). (Tafsir al-Baghawi, 5:316). Namun, jika dirujuk kepada pandangan majoriti ibadah korban adalah sunat muakkad yang sangat dituntut, bukan suatu yang diwajibkan.

Walaupun demikian, pada tahun ini, kita semua berada pada fasa di mana banyak ujian dan cubaan yang telah kita hadapi pada dua tahun sebelum ini. Fasa di mana wabak Covid-19 yang menyebabkan banyak kematian, bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh yang telah menghilangkan banyak harta dan benda, sedang kita masih berada pada keadaan senang dan selamat daripada semua itu. Dengan pertolongan daripada Allah SWT, kita masih diberikan kesempatan untuk meneruskan kehidupan, bahkan kita juga masih ada harta yang memberi kesenangan dalam menjalani kehidupan.

Maka, dalam situasi ini amat wajar untuk kita menunjuk manifestasi syukur kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan ibadah korban atas segala nikmat kesenangan, keselamatan dan segala kemudahan yang ada dalam menjalani kehidupan selepas segala fasa kesusahan dan kepayahan yang dihadapi sebelum ini. Semoga usaha kita untuk melaksanakan tuntutan korban ini mendapat kelebihan yang dijanjikan Allah SWT yang bermaksud: “Daging-daging (haiwan korban) dan darahnya itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya mengagungkan Allah terhadap hidayahnya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

Selamat Hari Raya Aidiladha dan selamat melaksanakan ibadah korban.

Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di khadher82@um.edu.my