1 December 2023

Kemakmuran negara berpaksikan indeks kebahagiaan keluarga mentaati sunnah Nabi SAW

Featured

It’s never too late to have braces!

By: Dr. Yasmin Kamarudin, Assoc. Prof. Dr. Saritha Sivarajan Let’s...

It’s not okay for your gum to bleed

Pay attention to the signals your body is telling you. It is not okay to have gum bleeding every now and then. Make that visit to the dentist, so they will examine you and provide the necessary treatment to control your gum bleeding problem.

Will there ever be the next Oxfords, Harvards?

Every nation has their own strength and limitations from socio-economic and geo-political background. Like in any other sectors, advancing strategies for universities should then also be based on their own strength rather than following what others are doing elsewhere.

Bersolidaritilah, walau di mana kita berada

Serangan Israel ke atas Palestin merupakan tragedi kemanusiaan yang...

Be on the lookout for your teeth during festive and holiday seasons

By: Assoc. Prof. Dr. Nor Azlida Mohd. Nor Malaysia’s festive...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Ishak Suliaman

Indeks kemakmuran negara sebenarnya berasaskan kepada indeks kebahagian keluarga. Jika manusia atau rakyat bahagia maka masyarakat dan negara pasti akan makmur dan berjaya. Prinsip keluarga bahagia-negara makmur adalah prinsip Islam yang menjadi Sunnah Nabi Muhammad SAW. Fasa pembentukan keluarga beriman dengan membuang kesyirikan dan kefasadatan selama 13 tahun telah berlaku di Mekah dengan kejayaan melalui pelbagai ujian dalam ekosistem jahiliyyah korup. Baginda Nabi Muhammad SAW menfokuskan kepada aspek membina jatidiri umat Islam yang berintegirti, survival terhadap tekanan hidup dan skill diplomasi tahap tinggi terhadap umat Islam di fasa pembinaan keluarga Muslim di Mekah.

Sebanyak 86 Surah al-Quran bagi kategori Makkiyyah yang mengandungi perintah Allah SWT bagi pemantapan iman dan pendidikan komprehensif membina jatidiri umat Islam di fasa Mekah. Pendidikan ekosistem keluarga Islam menghadapi ujian mental, emosi dan fizikal menjadi asas pendidikan ibubapa kepada anak-anak di peringkat awal rumah. Buktinya, Surah Luqman dari kategori Makiyyah menfokuskan kepada pendidikan komprehensif ekosistem keluarga Islam sebagai asas pendidikan ibubapa kepada anak-anak di rumah. Inilah asas utama bagi indeks kebahagian keluarga dalam mentaati perintah Allah SWT melalui mentaati Sunnah Nabi SAW sebagai praktikaliti pendidikan berterusan di rumah bagi memberi impak terhadap kemakmuran negara.
Fasa membina negara Islam Madinah selepas hijrah adalah impak kemanusiaan bertahap tinggi bagi mentadbir negara Madinah yang dipelihara Allah SWT dengan konsep negara maju berteraskan rahmat dan keampunan Allah SWT. Negara Madinah ditadbir urus oleh Nabi Muhammad SAW sebagai Ketua Negara dan kabinet Sahabat RA di atas prinsip integriti, keadilan, perjuangan, keilmuan dan ketamadunan dalam ekosistem kekeluargaan dan solidariti. Selama 10 tahun hayat Baginda SAW di Madinah, semua cabaran kedaulatan negara Islam Madinah dalam bentuk hubungan Muslim Arab dengan Non Muslim Yahudi, ketaksuban kepuakan dan keturunan Arab sesama Arab, kestabilan sosial, pembangunan ekonomi dan prasarana awam telah berjaya ditadbir urus oleh Nabi Muhammad SAW dan kabinet Sahabat RA dalam ekosistem kekeluargaan dan solidariti yang jitu.

a family of four on a beach
Kebahagiaan keluarga banyak bergantung kepada usaha kita mentaati Allah dan RasulNya (Gambar hiasan dari Unsplash).

Buktinya, sebanyak 28 Surah Madaniyyah mengandungi perintah undang-undang Islam, prinsip diplomasi politik dan peperangan, etika kemasyarakatan, manual pendidikan keluarga, pengurusan aset dan harta awam, hak wanita, golongan kurang upaya dan minoriti telah berjaya dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul dan Ketua Negara Islam Madinah. Justeru, pembukaan dan pembebasan kota Mekah daripada kejahilan dan kebejatan Musrik Mekah merupakan manifestasi impak kebahagiaan keluarga Islam terhadap kemakmuran negara khususnya dalam kontek di Madinah dan seterusnya berkembang di Mekah.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, kemakmuran negara Islam dimantap-perkasakan oleh 4 orang Sahabat Baginda SAW yang bermula dengan Khalifah Abu Bakar RA, kemudian Khalifah Umar al-Khttab RA, seterusnya diganti dengan Khalifah Othman al-‘Affan RA dan Khalifah Ali Abi Talib RA sebagai Khulafa’ al-Rasyidin terakhir yang disambung seterusnya dalam kerangka empayar dinasti keturunan Umawi, Abbasi dan lain-lainnya. Semasa hidup Baginda SAW, pemantapan pendidikan kepimpinan berintegriti yang bermula di rumah terus diperkasakan di luar rumah melalui pendidikan komprehensif melalui institusi Masjid. Masjid al-Haram di Mekah dan Madinah menjadi pusat ibadah-ilmu-pentadbiran negara khususnya di zaman Nabi Muhammad SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin berasaskan ekosistem kekeluargaan ummah. Justeru, kebahagiaan jemaah Muslim yang mengimarahkan Masjid dalam ekosistem keluarga melalui solat berjemaah, majlis ilmu dan mencapai kesepakatan keputusan bersama melalui musyawarah merupakan asas praktikal pemimpin dan rakyat Muslim bagi memperoleh kemakmuran negara Islam kurniaan Allah SWT. Apabila pemimpin negara sentiasa mendirikan solat fardu berjemaah bersama rakyat dan beriltizam dalam majlis ilmu di dalam ekosistem institusi Masjid, maka pasti wujud sifat kehambaan terhadap Allah SWT dan sifat kemanusiaan dalam kalangan pemimpin dan negara. Inilah jaminan Allah SWT bagi memperkasakan negara dengan indeks kemakmuran yang holistik.

Indeks kemakmuran negara yang berasaskan kepada kemakmuran ekonomi, sosial dan politik yang jauh daripada asas agama wahyu pasti berakhir dengan kepincangan dan keruntuhan. Hanya menunggu masa bagi pengakhiran yang tragis ini. Kemakmuran ekonomi kapitalis di mana golongan kaya bertambah kaya dan pekerja selamanya sebagai hamba majikan pasti mengalami kepincangan manusiawi.

Golongan kaya akan mengalami kepincangan rakus-tamak-zalim. Pekerja umpama robotik kepada majikan yang hilang nilai manusiawi khususnya emosi dan kasih sayang. Maka penyakit psikologi khususnya krisis identiti diri yang melibatkan seksualiti (LGBTQIA+), kemurungan dan bunuh diri akan menjadi bala fenomena bagi negara yang berpaksikan kepada indek negara makmur berteraskan ekonomi semata-mata, sosial tanpa nilai agama dan sistem politik kuasa untuk kuasa semata-mata. Ini realiti fenomena negara yang pupus nilai kekeluargaan namun kelihatan hebat dari aspek ekonomi dan sosial yang bebas hingga terbabas. Di mana nilai holistik bahagia bagi negara yang mempunyai nilai indeks kemakmuran dunia yang tinggi dari aspek ekonomi namun realitinya rakyat hilang identiti asas manusiawi? Justeru, ke arah mana negara tercinta kita Malaysia dalam situasi ini? Apakah majoriti pemimpin dan rakyat Malaysia cenderung terhadap kebahagiaan keluarga sebagai paksi kemakmuran negara? Apakah kebahagiaan keluarga ini diasaskan kepada ajaran wahyu khususnya Islam yang menuntut kepada ketaatan kepada Allah SWT dengan mentaati Sunnah Nabi SAW bagi memakmurkan negara ini?

Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul SAW bagi tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’, maka Pendidikan kekeluargaaan bagi umat Islam di Malaysia hendaklah kembali kepada panduan Sunnah Nabi SAW yang komprehensif dan holistik. Pemimpin negara hendaklah menjadikan prinsip Sunnah Nabi SAW dalam mentadbir Malaysia berasaskan kekeluargaan Islam yang terbukti sebagai asas utama dalam memakmurkan negara ini. Justeru, indeks kemakmuran negara mestilah berasaskan kepada fundamental manusiawi yang akan menguruskan keperluan duniawinya yang menuju kepada ukhrawi melalui pendidikan kekeluargaan Islam bertunjangkan kepada ketaatan kepada Allah SWT dengan mentaati Sunnah Nabi SAW.

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di ishakhs@um.edu.my