Vietnam merupakan negara paling timur di semenanjung Indochina, dan disempadani oleh pelbagai negara, termasuklah China di utara, dan Laos dan Kemboja di bahagian barat. Sejarah penubuhan negara ini dikatakan bermula dengan kerajaan Vietnam purba pada kurun ketiga sebelum Masihi, dan diakhiri dengan penubuhan Vietnam moden yang bermula pada tahun 1976 dengan penyatuan bahagian utara dan selatan negara itu sesudahnya Perang Vietnam pada tahun 1975.
Kesan langsung dari tragedi yang berlarutan selama sedekad ini mengakibatkan negara ini agak ketinggalan dari segi kemajuan dan pembangunan, berbanding negara-negara jirannya. Walau bagaimanapun, pembaharuan ekonomi yang dibawa kerajaan pada pertengahan 1980an kini telah menunjukkan hasilnya, dan pertumbuhan ekonomi Vietnam menunjukkan antara kadar yang tertinggi di dunia. Sebagai ahli ASEAN, APEC, dan pelbagai pertubuhan ekonomi sedunia dan serantau yang lain, Vietnam turut menerima manfaat sokongan dua hala dari pelbagai badan dan agensi, bagi menjamin kemakmuran negara dan rakyatnya.
Namun demikian, untuk sebilangan besar penduduk minoriti Vietnam, terutamanya rakyat dari etnik Cham, kedudukan ekonomi mereka masih terbatas. Peluang untuk menyalurkan bantuan dari pelbagai aspek, termasuklah pendidikan, keperluan asas, dan kemudahan prasarana, sentiasa terbuka kepada mana-mana individu, agensi, dan organisasi prihatin.
Sehubungan dengan itu, sekumpulan sukarelawan Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan sebuah program kemasyarakatan antarabangsa di Daerah An Giang, Vietnam, baru-baru ini. Program yang dinamai ‘Kurshiah Across Borders’ (KAB) ini merupakan aktiviti tahunan yang melihat sukarelawan UM dari Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah bersukarelawan di pelbagai negara ASEAN sejak 2012, termasuklah Indonesia, Thailand, dan Kemboja.
“Kami memilih Vietnam untuk lokasi KAB edisi 2019, kerana ingin memberi peluang kepada mahasiswa UM bersukarelawan di kawasan yang agak mundur berbanding negara kita. Peluang ini diharapkan mampu menyampaikan bantuan yang berimpak kepada kumpulan sasaran yang dikenal pasti di sana,” kata Joharna Mahathir, 23, mahasiswa tahun ketiga Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UM, yang merupakan pengarah KAB.
Seramai 45 orang delegasi dari UM yang menyertai KAB kali ini telah meluangkan masa bersama penduduk tempatan di Kampung Giang Chau Chau Tan Chau, dan pelajar-pelajar Madrasah Thanh Pho Chau Doc di Daerah An Giang, Vietnam. “Selain menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan secara langsung, KAB juga berobjektif sebagai platform kepada mahasiswa UM untuk mendekati budaya dan masyarakat etnik Cham yang merupakan golongan minoriti di sana,” kata Siti Nur Khairunisa Mohd. Al-Fatah, 23, Mahasiswa tahun ketiga Akademi Pengajian Melayu UM, yang merupakan sukarelawan program.
Menariknya, bentuk bantuan yang diberi adalah lebih berbentuk peningkatan motivasi pendidikan, berbanding bantuan barangan keperluan asas yang sering dilakukan. “Sebagai seorang mahasiswa yang sememangnya dekat dengan institusi keilmuan, saya yakin kepada kelebihan mereka untuk sama-sama berkongsi aspirasi untuk berjaya dalam bidang pendidikan, walaupun dalam konteks negara bangsa yang berbeza. Sementelah majoriti etnik Cham juga adalah penganut agama Islam, bentuk bantuan yang disampaikan juga merangkumi keperluan ibadat, seperti telekung, dan naskhah al-Quran,” kata Zazmin Abu Bakar, pensyarah bahasa Arab di Fakulti Bahasa dan Linguistik UM, yang merupakan penasihat program.
Para sukarelawan turut merangka sesi interaksi bersama penduduk dan pelajar madrasah, termasuklah permainan sukaneka, dan aktiviti berkumpulan. “Aktiviti yang dilakukan memang diatur untuk dilaksanakan secara santai bagi memudahkan kedua-dua belah pihak menjalin kemesraan. Kekangan masa dan bahasa perantaraan tidak menghalang sukarelawan KAB dari melakukan yang terbaik, demi kelangsungan program yang ingin melihat anak-anak di sini turut memasang cita-cita untuk berjaya pada masa hadapan,” kata Joharna lagi.
“Saya kagum dengan usaha yang ditunjukkan oleh sukarelawan UM ini dari peringkat perancangan sehinggalah ke peringkat akhir pelaksanaan KAB. Saya juga yakin pembudayaan semangat kesukarelawanan dan ingin membantu telah berjaya dipupuk di kalangan mereka. Ini merupakan antara inisiatif yang sering disokong universiti dalam usaha melahirkan graduan yang holistik dan sentiasa membawa nilai teras universiti walau di mana mereka berada,” kata Zazmin mengakhiri temubual.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Joharna Mahathir di joharnamahathir1017@gmail.com