“30 tahun dahulu, saya juga melalui pengalaman ini. Beratur mengambil jubah, bergambar bersama rakan-rakan sekuliah; betul-betul menggamit memorilah,” kata Encik Suresh sewaktu ditemui pada sesi pengambilan jubah konvokesyen, baru-baru ini.
Mengakui melihat banyak perubahan di persekitaran UM dalam perjalanannya ke Bangunan Peperiksaan, “Bangga betul saya rasakan. Perubahan UM begitu hebat, bukan hanya secara fizikal tetapi lebih dari itu,” katanya lagi yang hadir mengambil jubah mewakili anak saudaranya yang bakal bergelar graduan Fakulti Undang-undang.
“Yang lebih membanggakan kami sekeluarga adalah legasi menuntut ilmu di universiti tertua negara ini tetap diteruskan oleh anak saudara saya ini. Dan diharapkan legasi ini akan berterusan sampai bila-bila,” kata Suresh yang merupakan alumni Fakulti Sastera dan Sains Sosial tahun 1992.
Ditanya mengenai pengalamannya bergelar mahasiswa, dengan penuh semangat beliau berkongsi: “Memori bergelar mahasiswa UM memang banyak untuk dikongsi. Tapi yang penting adalah menyedari yang tempoh itu merupakan zaman keemasan kita sebagai generasi muda.
Timba sebanyak mungkin ilmu di dada semasa di menara gading, kerana masa itu tidak akan kembali,” pesan bekas penghuni Kolej Kediaman Tunku Kurshiah (KK3) ini mengakhiri temubual ringkas kami.


Turut hadir pada sesi pengambilan jubah ini ialah Puan Janagi Naidu, yang merupakan alumni jurusan biokimia dari Fakulti Sains tahun 2008. Menariknya, kehadiran beliau adalah bagi menemani suaminya yang bakal berkonvokesyen kali kedua di Dewan Tunku Canselor, setelah menamatkan pengajiannya di peringkat sarjana.
“Saya dahulu aktif menyertai program-program di kolej kediaman, antaranya dilantik menjadi Pemudahcara Mahasiswa (PM) dan ahli Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK), Kolej Kediaman Kinabalu (KK8).
Selain dapat menambahkan ilmu berorganisasi, ada satu lagi manfaat yang paling besar saya dapati apabila menyertai program sebegini. Nak tahu?” tanya anak jati Johor Bahru ini, seolah-olah menduga kami.
“Di situlah saya menemui jodoh saya!” jawabnya sambil tertawa keriangan, dan menuding ke arah suaminya yang kebetulan sedang berjalan ke arah kami dengan jubah konvokesyennya.


……
Kisah ini merupakan siri coretan ringkas dari temubual kami bersama bakal graduan Istiadat Konvokesyen ke-62 pada 5 hingga 13 Disember 2022.
📸 Photos by @mohdfadhliyong. Interview by Latimin Keman. Words by @__lukmanhakeem