15 February 2025

Mencegah jenayah menerusi reka bentuk alam sekitar

Featured

Menyantuni mereka di pinggir ibu kota

Pada 29 Disember 2024, Seramai 40 orang pelajar dari...

Beyond these walls

By Dr Noralina Omar It was raining that afternoon. The...

Bila dia ‘halal’

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin Vape atau...

For our future

By: Lee Wai Guan, Dr. Mohd Istajib Mokhtar Imagine a...

Permata Kinabalu perkasakan mereka

Oleh: Muhammad Taftazany Abd Rahman Dalam era globalisasi yang pesat...

Share

Oleh Dr. Yong Adilah Shamsul Harumain

Sejak akhir-akhir ini, berita mengenai ancaman keselamatan kanak-kanak di jalan raya semakin membimbangkan. Selain daripada kemalangan yang meragut jiwa, pembangunan pesat telah mengekang kebebasan kanak-kanak untuk bermain di luar rumah dan bergerak secara bebas dan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan kanak-kanak terus meningkat. Hasilnya, perkembangan minda dan fizikal kanak-kanak terbatas terutamanya bagi kanak-kanak yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kanak-kanak amat bergantung kepada ibu bapa dan penjaga untuk bergerak keluar dari rumah termasuklah ke sekolah dan taman permainan, dan isu kesesakan sewaktu menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah menjadi alah bisa tegal biasa. Perbandaran pesat atau urbanisasi yang berlaku di Malaysia tidak dapat dinafikan demi kepentingan ekonomi dan pembangunan negara.

Walaupun rekabentuk sesebuah bandar adalah direka supaya selamat, adakah ianya selamat dan mesra untuk kanak-kanak atau sekadar untuk orang dewasa? Sebuah bandar yang selamat seharusnya mengambil kira perlindungan masyarakat, alam sekitar, dan harta benda termasuklah selamat terhadap kanak-kanak. Bandar mesra kanak-kanak adalah penting bagi Malaysia kerana suasana sekeliling kanak-kanak di dalam dan di luar rumah akan mempengaruhi pembentukan minda, sahsiah dan perkembangan fizikal kanak-kanak. Negara yang maju haruslah memastikan kehidupan kanak-kanak terjamin dan akhirnya akan membesar menjadi sebagai seorang rakyat yang akan menyumbang kepada pertumbuhan pembangunan di dalam semua jenis bidang terutamanya di dalam pertumbuhan ekonomi negara.

man in white shirt carrying girl in gray shirt
Bandar mesra kanak-kanak menjamin keselamatan dan kesejahteraan keluarga – Gambar hiasan dari Unsplash.

Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak atau dikenali sebagai Child Friendly Cities Innitiatives (CFCI) boleh ditafsirkan sebagai salah satu konsep bandar yang mesra untuk kanak-kanak. Semasa sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penempatan Manusia pada tahun 1996, Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak (CFCI) melalui Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah dibentangkan buat kali pertama (Habitat II). Sehubungan dengan itu, pada masa kini, pandangan kanak-kanak menjadi faktor yang semakin didengari. Kanak-kanak harus dianggap sebagai salah seorang warganegara yang bukan sahaja seseorang yang berada di bawah tanggungan orang dewasa yang mana mereka mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat dan perspektif mereka terutamanya bagi perkara yang melibatkan kanak-kanak.

Konsep Pencegahan Jenayah Melalui Reka Bentuk Alam Sekitar (CPTED) telah dibangunkan sebagai tindak balas kepada peningkatan kadar jenayah dan telah dikenali di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. CPTED adalah reka bentuk strategik dan penggunaan rekabentuk persekitaran yang mendorong perubahan tingkah laku rakyat dan melaluinya dapat mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan kualiti hidup. CPTED merupakan salah satu strategi pencegahan jenayah dalam Program Bandar Selamat yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sejak tahun 2004.

Sebahagian daripada inisiatif yang telah dilaksanakan adalah pengasingan laluan pejalan kaki dan kenderaan dan juga laluan bersepadu untuk peredaran lalu lintas yang lebih baik, penyediaan ciri keselamatan yang mencukupi dan sesuai seperti lampu CCTV, penggera keselamatan, penyediaan bollard dan penggunaan reka bentuk susun atur yang menggalakkan pengawasan semula jadi. Jelas, konsep CPTED ini boleh juga menjadi satu kaedah dan strategi yang boleh juga digunakan bertujuan untuk membantu bandar menjadi lebih mesra kanak-kanak.

girl with paint of body
Keselamatan kanak-kanak bakal membantu proses pembangunan setempat. Gambar hiasan dari Unsplash

Dalam konteks ini, istilah “komponen alam bina” boleh dianggap sebagai “intervensi reka bentuk dalam persekitaran fizikal yang boleh membantu dalam mempromosikan keperluan kanak-kanak”. Contoh intervensi reka bentuk yang baik yang boleh membantu menjadikan bandar lebih mesra kanak-kanak adalah mengintegrasikan elemen penenang lalu lintas ke dalam lanskap jalan. Dari sudut alam bina, salah satu halangan paling ketara yang telah menyumbang kepada kurangnya kanak-kanak bermain di luar rumah dan di kawasan kejiranan mereka adalah kerana peningkatan jumlah trafik kereta, dan akses yang tidak baik ke kawasan lapang dan kawasan permainan. Peningkatan trafik telah menyebabkan ibu bapa menjadi lebih prihatin terhadap keselamatan anak-anak apabila berada di luar rumah, lalu secara tidak langsung mengundang kepada penurunan bilangan anak yang berjalan di sekitar jalan kejiranan secara kendiri. Akibatnya, peluang mereka untuk bermain, bersosial dan mengakses komuniti mereka secara bebas telah berkurangan terutamanya di bandar.

Kawasan permainan kanak-kanak telah disediakan tetapi akibat daripada peningkatan jumlah trafik di jalanraya, kanak-kanak tidak dapat akses ke kawasan tersebut dengan selamat tanpa dikawal selia oleh ibu bapa. Jumlah trafik yang semakin meningkat, lokasi kawasan lapang yang sukar untuk diakses, dan mobiliti bebas yang terhad telah mempengaruhi reaksi kanak-kanak terhadap alam sekitar, secara tidak langsung akan mengurangkan keyakinan kanak-kanak terhadap alam bina di sekeliling mereka. Sikap seperti “takut-takut”, diculik dan kurang keyakinan menjadi punca utama kanak-kanak terpaksa bermain di dalam rumah atau lebih cenderung untuk bermain permainan komputer di dalam rumah sahaja.

Kesimpulannya, konsep CPTED adalah satu konsep yang baik dan boleh diperhalusi bagi menjayakan bandar mesra kanak-kanak. Apa yang diperlukan ialah, pengkhususan kepada keperluan kanak-kanak apabila mengaplikasikan konsep CPTED ini berbanding menggunakan konsep CPTED ini berdasarkan impak terhadap golongan dewasa sahaja. Boleh dikatakan bahawa komponen alam bina untuk bandar mesra kanak-kanak perlu turut berpusat pada pengurusan trafik dan pengangkutan awam yang cekap ke arah Children Independence Mobility terutamanya idea berjalan kaki ke sekolah, reka bentuk persekitaran rekreasi, fasiliti dan ruang awam yang berkualiti khusus untuk kanak-kanak termasuklah akses kepada alam semula jadi dan ruang hijau.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di adilah_shamsul@um.edu.my