5 February 2023

Fakta dan mitos anak nakal

Featured

Kisah minggu ketigabelas

Sehari sebelum warga kampus mula bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, pasukan kami sempat menjengah Fakulti Kejuruteraan untuk merakamkan suasana kampus.

Memperkasakan ta’aruf, tafahum dan tasamuh dalam Masyarakat MADANI di Malaysia

Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Let’s craft an ideal 21st century city out of KL

Kuala Lumpur, the capital of Malaysia, has a rich history dating back to the late 1800s. It began as a small tin-mining settlement in the 1850s and was granted city status in 1972. During the late 19th and early 20th centuries, Kuala Lumpur developed rapidly as a centre of tin mining and trade, leading to increased immigration and economic growth.

Normalisasi sembang lucah: Mengemis perhatian murahan

Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah.

Ibu bapa pendamping tumbesaran anak-anak zaman digital

Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Share

Oleh: Dr. Norfaezah Md Khalid

Peringkat perkembangan yang dilalui oleh kanak-kanak menjadikan mereka lincah dan aktif dalam kehidupan seharian. Anak-anak ini kelihatan seolah-olah tidak pernah kehabisan tenaga untuk bermain tanpa henti. Kelincahan kanak-kanak ini adakalanya menjadikan mereka dilabel sebagai ‘anak nakal’ oleh orang lain. Apatah lagi apabila kanak-kanak yang sangat lincah ini dibandingkan dengan kanak-kanak seusia yang lebih sopan. Namun, wujudkah ‘anak nakal’ ini? Tidak dinafikan bahawa memang terdapat kanak-kanak yang ‘nakal’ disebabkan tingkahlaku dan komunikasi mereka yang adakalanya menyebabkan ketidakselesaan kepada kanak-kanak yang lain. Nakal itu sendiri bermaksud suka melakukan sesuatu yang dilarang seperti menganggu orang lain, tidak menurut arahan, mencuri, bercakap dengan kasar, menggunakan perkataan-perkataan tidak elok semasa berinteraksi, dan lain-lain. Terdapat sesetengan ibu bapa yang mengakui kenakalan anak mereka, namun terdapat juga sesetengah ibu bapa yang melihat kenalan itu sebagai satu proses pembelajaran untuk anak-anak mereka.

Namun, sejauh mana kebenaran di sebalik tanggapan-tanggapan ini? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan seseorang kanak-kanak itu menjadi nakal? Terdapat banyak faktor yang boleh dikaitkan dengan kenakalan anak-anak. Pertama, pastinya adalah gaya asuhan dan didikan oleh ibu bapa/penjaga di rumah. Keluarga adalah persekitaran pertama apabila seseorang individu itu dilahirkan. Keluarga atau penjaga memainkan peranan yang penting dalam mencorak keperibadian diri seseorang, termasuklah golongan kanak-kanak. Sesetengah ibu bapa, seringkali menurut apa sahaja kehendak anak-anaknya kerana tidak mahu mendengar tangisan dan rengekan berterusan anak-anak mereka. Namun, tanpa disedari keadaan ini akan menjadikan anak-anak itu lebih bersikap suka mengarah, berfikir bahawa semua kehendaknya perlu dan akan dipenuhi.

girl in green jacket standing on water
Sememangnya dunia kanak-kanak itu untuk bermain. Gambar ihsan dari Unsplash

Ada juga ibu bapa yang tidak konsisten mempamerkan emosi tertentu kepada anak-anak. Misalnya, emosi marah. Ada ibu bapa yang berpura-pura memarahi anak, ada juga yang pada awalnya memarahi anak, kemudian mungkin berasa kasihan, lantas tertawa, dan kembali memujuk anak tersebut. Dalam situasi yang lain, si bapa memarahi dan menegur tindakan anak yang tidak betul, namun datang si ibu untuk membela anaknya. Situasi-situasi ini boleh menyebabkan anak-anak keliru dengan pelbagai bentuk emosi yang dipamerkan oleh ibu bapa, dan akhirnya berfikir bahawa tindakan ibu atau bapa yang memarahi mereka itu adalah tidak serius dan hanyalah berjenaka. Selain itu, segelintir ibu bapa atau orang dewasa juga sering membiarkan tingkahlaku nakal anak-anak mereka kerana beranggapan bahawa anak-anak ini masih kecil dan kenakalan itu adalah normal bagi mereka. Namun, tanpa disedari ada kesan negatif yang mungkin boleh timbul akibat perkara yang dianggap normal ini.

Tetapi, bukankah kenakalan ini bagus di mana ia menunjukkan keaktifan dan kebijakan seseorang kanak-kanak? Tidak dinafikan bahawa anak yang ‘nakal’ atau banyak akal ini akan mempunyai lebih banyak pengalaman kerana mereka melalui dunia penerokaan mereka dengan pelbagai percubaan. Mereka bebas untuk mencuba dan mempelajari perkara baharu. Kenakalan pada peringkat awal usia kanak-kanak adalah normal. Lumrah kehidupan dunia kanak-kanak adalah bermain. Kanak-kanak hanya memikirkan tentang keseronokan dan keinginan untuk mencuba pelbagai perkara yang menarik bagi mereka. Pada peringkat ini, salah satu tugas perkembangan anak-anak adalah meneroka dunia persekitaran. Kanak-kanak yang berjaya melaksanakan tugas mereka pada peringkat ini membolehkan mereka terus berkembang ke fasa kehidupan yang seterusnya. Namun, sebagai ibu bapa, kita haruslah sentiasa ingat bahawa kanak-kanak ini adalah makhluk kecil yang sentiasa memerlukan bantuan kita sebagai orang dewasa.

Meskipun dunia mereka adalah dunia bermain dan meneroka pelbagai perkara, anak-anak ini sebenarnya amat memerlukan bantuan orang dewasa untuk memandu tingkahlaku mereka. Hal ini termasuklah untuk membezakan apakah yang boleh dan tidak boleh dilakukan, serta penjelasan di sebalik arahan tersebut. Kanak-kanak yang dibiarkan meneroka dunia mereka secara sendiri, bebas tanpa pantauan ibubapa, dibimbangi akan menerapkan pemikiran dan nilai dalam hidup yang tidak tepat. Wujud kemungkinan di mana kebiasaan tingkahlaku yang diamalkan pada peringkat usia kanak-kanak akan dibawa sehinggalah kanak-kanak ini dewasa, yang mana boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan personaliti anak-anak ini. Sebagai contoh, kanak-kanak yang sering merosakkan alat permainan di taman permainan tanpa ditegur dan diberi penjelasan yang sewajarnya oleh ibubapa, boleh menyebabkan kanak-kanak ini membawa sikap dan perbuatan tersebut sehinggalah mereka dewasa. Apabila dewasa, anak-anak ini menganggap tingkahlaku tersebut adalah perkara biasa sehingga membawa mereka ke arah vandalisme. Begitu juga dengan situasi yang lain seperti kanak-kanak yang biasa memukul rakan-rakan semasa bermain atau di dalam kelas, tanpa ada bimbingan sewajarnya akan menyebabkan perbuatan itu sebati dalam diri mereka. Apa yang paling dikhuatiri adalah sikap dan perbuatan tersebut akan mengarah mereka menjadi seorang pembuli apabila meningkat remaja dan dewasa kelak.

Justeru, ibu bapa dan penjaga khususnya haruslah berusaha untuk memahami apakah yang sedang berlaku dalam peringkat usia anak-anak. Terdapat tugas-tugas perkembangan tertentu yang perlu dicapai oleh individu pada setiap peringkat atau fasa kehidupan. Ibu bapa dan penjaga haruslah bersedia untuk memberi ruang dan bimbingan yang secukupnya kepada anak-anak untuk membolehkan mereka terus berkembang dengan baik dalam masa yang sama mendapat bimbingan tentang perbuatan dan sikap mereka. Pada zaman teknologi serba canggih ini, ibu bapa dan golongan dewasa dapat mengakses pelbagai platform untuk mendapatkan informasi tentang keibubapaan. Maka, carilah ilmu yang boleh dijadikan panduan khususnya dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Ibubapa dan orang dewasa juga perlu memberi ruang kepada anak-anak kecil ini untuk mendengar suara hati mereka, memberi mereka peluang untuk membuat pilihan dalam kehidupan dengan bimbingan.

girl in blue shirt lying on yellow inflatable pool
Perkembangan mental kanak-kanak seiring dengan maklumbalas yang diterima dari dunia di sekeliling mereka. Gambar hiasan dari Unsplash.

Selain itu, konsisten dalam mendidik dan tidak jemu untuk mengulang nasihat yang sama kepada anak-anak adalah amat penting. Sebagai ibu bapa atau orang dewasa, kita perlu menyedari bahawa tahap pemikiran anak-anak ini masih rendah, mereka masih belum mampu untuk berfikir seperti orang dewasa. Adakalanya ibu bapa sering mengatakan kepada anak-anak mereka, ‘Berapa kali ibu nak cakap? Asyik cakap hal yang sama, masih tak faham-faham lagi ke?’ Dialog ini kerap diutarakan oleh ibubapa kepada anak-anak kecil. Tanpa kita sedar, anak-anak ini masih belum dapat memahami sepenuhnya apa yang disampaikan oleh orang dewasa kepada mereka, sesuai dengan tahap perkembangan kognitif mereka. Justeru, sebagai orang dewasa, kita tidak seharusnya berasa jemu untuk mengulang nasihat yang sama kepada anak-anak. Selain itu, didikan agama dan moral perlu menjadi asas kepada didikan anak-anak. Ajarlah anak-anak tentang ilmu agama dan perkara moral agar anak-anak ini mempunyai asas yang kukuh yang memandu kehidupan mereka.

Namun, tidak dinafikan adalakanya menjadi satu kekangan dari segi mencari ruang masa untuk bersama dengan anak-anak ini, khususnya bagi ibu bapa yang bekerja. Kesibukan kehidupan seharian dalam mencari rezeki untuk keluarga mengehadkan masa bersama anak-anak. Ada ibu bapa yang keluar rumah untuk bekerja sebelum matahari terbit dan hanya pulang ke rumah selepas matahari terbenam, akhirnya menyebabkan mereka tidak mempunyai kesempatan untuk memantau aktiviti anak-anak.

Namun, ingatlah, kita melalui fasa kehidupan kanak-kanak hanya sekali dalam hidup ini. Fasa ini amat penting dalam pembentukan identiti dan personaliti apabila seseorang membesar. Pengalaman dan didikan yang diperoleh pada peringkat ini boleh menjadi satu lukisan kehidupan yang akan dibawa sehingga anak-anak membesar menjadi orang dewasa, dan lukisan ini adalah gambaran tentang diri mereka. Maka, carilah masa yang berkualiti untuk bersama dengan anak-anak untuk mendengar cerita mereka serta memberi respon sewajarnya kepada mereka. Tidak perlu lama, yang penting mesej tersebut dapat sampai kepada anak-anak ini. Ingatlah bahawa kanak-kanak kecil yang comel ini amat memerlukan bantuan kita sebagai orang dewasa untuk terus membimbing mereka.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di norfaezah@um.edu.my

Previous article
Next article