Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Itulah perumpamaan yang diungkapkan untuk menggambarkan rasa kerinduan terhadap tempat asal usul atau kampung halaman. Kebiasaannya, bagi orang yang merantau keluar sama ada dengan tujuan menuntut ilmu, mencari rezki atau mengikut pasangan, kerinduan kepada kampung halaman merupakan satu lumrah. Ini disebabkan wujudnya rasa ikatan batin yang kuat dengan tempat dilahirkan dan dibesarkan. Bahkan kampung halaman juga menjadi tempat merawat jiwa yang terbaik kerana suasananya yang tenang dan mendamaikan di samping dapat ketemu insan yang disayangi. Rasa rindu ini diperkuatkan lagi ketika menyambut perayaan besar dalam Islam seperti sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.
Secara tradisinya, dalam meraikan sambutan raya, kepulangan ke kampung halaman atau bermudik merupakan satu amalan yang dilakukan oleh ramai orang. Ia termasuk dalam satu agenda yang wajib pada setiap tahun. Malahan boleh menimbulkan konflik rumahtangga dalam pemilihan giliran pulang kampung. Lazimnya, tradisi balik kampung atau mudik menjadi aktiviti besar-besaran menjelang 1 Syawal.
Kemeriahannya semakin dirasai apabila semakin hampir dengan hari raya hinggakan berlaku kesesakan parah di jalan raya dan lebuh raya. Kepenatan bagaikan tidak terasa walaupun telah melakukan perjalanan yang jauh dalam keadaan berpuasa demi bertemu dengan insan yang disayangi.
Dalam sirah Rasulullah SAW, tercatat satu peristiwa balik ke kampung halaman yang dilakukan oleh Rasulullah, iaitu pada tahun pembukaan kota Mekah. Ia berlaku dalam bulan Ramadan pada tahun ke 8H. Misi ketenteraan ke atas Musyrikin Mekah pada awalnya berakhir dengan cara damai dan tiada darah ditumpahkan. Dalam peristiwa pembukaan Mekah, Baginda berjaya menguasai kembali tempat kelahiran baginda, sekaligus dapat mengubati rasa rindu kepada Mekah.
Dalam tradisi balik kampung, tiada hadis Nabi SAW secara khusus. Namun begitu terdapat hadis yang menggalakkan kita untuk berbakti kepada ibu bapa dan juga menghubungkan silaturrahim. “Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW seraya berkata: Aku berbai’ah kepada kamu untuk berhijrah dan jihad bagi mencari pahala daripada Allah. Sabda Baginda SAW: “Adakah salah seorang ibu bapa kamu masih hidup? Jawab beliau: “Ya, bahkan kedua-duanya.” Sabda Baginda: “Adakah kamu ingin mencari pahala daripada Allah? Jawabnya: “Ya.” Lantas sabda Baginda SAW: “Pulanglah kepada ibubapa kamu dan berihsanlah dalam melayani kedua-duanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Dalam situasi balik kampung berhari raya, amalan ini termasuk dalam suruhan berbuat baik dan ihsan kepada kedua ibubapa, iaitu menziarahi mereka, bertanya khabar dan menghubungkan tali silaturrahim. Dalam hadis yang lain, Nabi SAW turut menggalakkan hubungan silaturrahim: Wahai manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat. (HR Ibnu Majah).
Jelasnya, tradisi mudik termasuk dalam amalan yang beroleh pahala kerana ia dapat menghubungkan silaturrahim antara ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan taulan. Ibaratnya, yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan dan yang rapat dieratkan. Namun begitu, dalam mengamalkan tradisi mudik, ia turut boleh mengundang dosa dan maksiat. Situasi ini boleh berlaku jika pemandu tidak menjaga adab dan aturan ketika di jalan raya. Umpamanya, melanggar peraturan had laju, melanggar lampu merah, memotong di lorong kecemasan, menjadi samseng jalan raya dengan membuli pemandu lain, memandu dengan merbahaya, dan membuka ruang kepada berlakunya kemalangan hingga menyebabkan kesesakan jalanraya, kerugian harta benda, kecederaan dan kehilangan jiwa.
Sebaliknya, adalah penting untuk kita menjaga adab dan peraturan ketika jalan raya dengan memandu dalam keadaan sopan, berdisiplin dan tertib. Bagi pemandu yang akan mudik untuk menyambut lebaran, beberapa panduan ringkas boleh dipraktikkan. Pertama, membaca doa untuk memohon keselamatan dan perlindungan dengan Allah SWT. Kedua, tidak menjadi samseng dan pembuli jalan raya. Ketiga, tidak melangar peraturan jalanraya. Keempat, membuat perancangan yang teliti umpama memilih masa perjalanan yang disyorkan untuk menghindari kesesakan teruk, memilih laluan yang sesuai, dan mencari tandas dan tempat solat yang tidak padat (seperti keluar lebuhraya). Keempat, membuat persediaan yang mencukupi umpama mendapatkan rehat yang cukup untuk mengelak tidur mikro (micro-sleep), menyediakan bekalan makanan asas untuk bersahur atau berbuka, memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan mengisi minyak lebih awal sebelum keluar ke lebuhraya.
Sehubungan dengan itu, dalam meraikan tradisi balik kampung, setiap pihak perlu merancang dan membuat persediaan perjalanan dengan baik di samping memandu dengan beradab dan mengikut peraturan. Jangan menjadi faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Yang penting, biarkan kepulangan kita disambut dengan rasa suka dan tawa. Dan jangan biarkan sambutan Aidilfitri kali ini bertukar menjadi tragedi duka dan hiba.
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my