Kemahiran berkomunikasi sering dijadikan kayu ukur kejayaan proses penggilapan bakat dan sahsiah kanak-kanak dan remaja, terutamanya apabila melibatkan aktiviti di luar bilik darjah.
Sehubungan dengan itu, sekumpulan 18 orang pensyarah dan kakitangan Institut Sains Biologi (ISB), Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) telah meluangkan masa bersama murid-murid sekolah dari kalangan orang asli di Kampung Belihoi, Mantin, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
“Aktiviti jalinan masyarakat di Kampung Belihoi ini dianjurkan buat kali pertama pada 2018, dan diteruskan pada tahun ini setelah menerima sambutan yang sangat baik daripada kedua-dua belah pihak, terutamanya dari kalangan pensyarah yang pertama kali mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan,” kata Dr. Rosazlin Abdullah, pensyarah kanan ISB UM, yang juga merupakan penyelaras program.

Program yang dinamai ‘Motivasi Kecemerlangan Sahsiah dan Akademik’ ini turut menerima kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan. “Secara umumnya, fokus aktiviti pengisian pada kali ini adalah bersifat motivasi ke arah pencapaian akademik untuk murid-murid sekolah di kampung ini. Namun secara tidak lagsung, program ini turut menyediakan platform yang sesuai untuk para pensyarah ISB mendekatkan diri dengan masyarakat,” kata Dr. Rosazlin lagi.

“Saya yakin program ini telah berjaya mencapai objektifnya melalui semangat yang ditunjukkan oleh kesemua murid yang terlibat di dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Saya bersedia untuk terus mengambil bahagian untuk program ini pada masa akan datang, terutamanya bagi melihat perubahan yang terhasil di kalangan mereka kelak,” kata Dr. Shamsul Azril Ahmad Shamsuddin, pensyarah kanan ISB yang menjadi peserta program.
Menariknya, salah satu aktiviti yang diadakan adalah berbentuk pengucapan awam oleh setiap murid-murid mengenai cita-cita dan harapan mereka untuk masa hadapan. “Aktiviti ini biar pun nampak mudah, namun saya percaya mampu membina keyakinan diri, dan seterusnya membina kekuatan dalaman untuk mengejar cita-cita yang mereka impikan. Murid-murid di sini sebenarnya hanya kekurangan pendedahan dalam berinteraksi dengan masyarakat luar, dan peluang yang diberi melalui program ini bakal melihat perubahan dalam sikap setiap daripada mereka,” kata Aminah Ujang, Ketua Kampung Belihoi yang ditemui semasa program berlangsung.

“Walaupun bentuk program yang mendekati masyarakat orang asli sebegini bukanlah sesuatu yang baru, namun kehadiran pensyarah UM di program ini telah memberikan impak yang besar kepada komuniti di sini. Besar harapan saya dan JAKOA jika program ini dapat dikembangkan ke kampung-kampung lain, terutamanya dalam usaha memberikan pendedahan kepada generasi muda orang asli mengenai peluang untuk berjaya pada masa hadapan melalui bidang pendidikan,” kata Norzalina Abd. Jaafar, Penolong Pegawai JAKOA yang turut menyertai program.

Setiap pensyarah dan staf ISB yang hadir sebagai peserta telah berpeluang untuk mendekati setiap murid yang terlibat, dan pendekatan secara satu sama satu ini membolehkan aktiviti dijalankan mengikut kehendak dan keperluan individu. “Aktiviti yang dilaksanakan telah meyakinkan saya untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan sesiapa sahaja, termasuklah mereka yang baru dikenali. Saya percaya kemahiran ini bakal membantu saya untuk menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang,” kata Adrieana Roland, pelajar tingkatan tiga SMK Mantin yang menyertai program.
“Saya terharu dengan sambutan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan program ini. Elemen komunikasi berkesan yang diterapkan di dalam program ini akan memberi kesan yang positif di setiap peringkat pembelajaran mereka. Saya percaya peranan untuk membantu pembinaan kejayaan belia dan generasi akan datang komuniti orang asli di sini terletak pada kerjasama segmen masyarakat lain, termasuklah kita yang berada di universiti,” kata Dr. Rosazlin mengakhiri temubual.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Rosazlin Abdullah di rosazlin@um.edu.my