Sekumpulan mahasiswa tahun kedua Universiti Malaya (UM) dari Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam UM telah mendekati 28 orang remaja Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Miskin, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini. Program selama 3 hari 2 malam ini telah diadakan di Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC), Jeram, Selangor.
“Keunikan program ini adalah pada konsep santai yang kami bawakan, namun tetap meletakkan aspek Al-Quran dan sirah nabawi sebagai asas dalam setiap modul aktiviti bersama para peserta. Kami cuba memenuhi program dengan aktiviti yang pelbagai dan sangat sesuai dengan jiwa remaja, tanpa dimasukkan sesi ceramah atau kuliah,” kata Muhammad Fakhrillah Mohd. Zaidi, 20, mahasiswa tahun kedua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith UM yang juga merupakan pengarah program.

Program yang dinamai ‘Pearls of Quranic Camp’ ini merupakan program kemasyarakatan yang pertama kali dilaksanakan oleh mahasiswa UM. “Selain bertujuan mendekati golongan masyarakat yang memerlukan, program ini juga berupaya menjadi wadah kepada mahasiswa yang berhasrat untuk merencana dan melaksana sebuah aktiviti jalinan masyarakat yang berasaskan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah. Cabaran untuk kumpulan mahasiswa ini adalah dalam merancang aktiviti yang menarik untuk remaja, namun turut mendekati Al-Quran pada masa yang sama,” kata Dr. Selamat Amir, pensyarah kanan Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith UM yang juga merupakan penyelaras program.

“Saya dan rakan-rakan telah merancang aktiviti yang mengaitkan aspek-aspek rohani, jasmani, dan intelektual. Kami ingin menunjukkan kepada para peserta yang Al-Quran bukan hanya sekadar untuk dibaca, namun turut berfungsi sebagai panduan di dalam setiap gerak-geri kehidupan kita. Antara lainnya, kami telah melakukan tahsin Surah Al-Fatihah, latihan dalam kumpulan, perlumbaan ‘explorace’, memanah, dan tayangan video,” kata Izzah Hanim, salah seorang sukarelawan UM yang terlibat sebagai salah seorang fasilitator program.

Menariknya, kawasan persekitaran KSCC yang mendamaikan turut diserikan dengan kehadiran haiwan peliharaan seperti arnab, angsa, burung, dan rusa. “Suasana kampung di sini amat membantu kami dalam mencapai objektif yang telah disusun. Para peserta berpeluang melakukan aktiviti yang jarang dirasai, seperti aktiviti lasak melalui halangan yang berlumpur, dan melakukan ibadat solat secara berjemaah di tengah padang,” kata Muhammad Fakhrillah lagi.

“Secara peribadi saya kagum dengan kesungguhan para sukarelawan menjayakan program ini. Bermula dengan perancangan yang teliti, usaha pencarian dana, dan akhirnya pelaksanaan program yang bersungguh-sungguh, saya pasti setiap daripada sukarelawan yang terlibat telah melalui proses pembelajaran yang unik. Paling utama, mereka telah berkongsi kepentingan untuk mengaplikasikan nilai-nilai Al-Quran di dalam kehidupan seharian. Secara tidak langsung ini juga membantu membina kemenjadian remaja dari golongan yang memerlukan ini,” kata Dr. Selamat mengakhiri temubual.



Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati menerusi Muhammad Fakhrillah Mohd. Zaidi di mfakhrillah@gmail.com