Baru-baru ini, Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC) telah mengambil inisiatif untuk memberi pendedahan mengenai konsep berkaitan industri halal kepada kanak-kanak semasa cuti persekolahan. Seramai 47 orang kanak-kanak berumur di antara empat hingga 12 tahun telah meluangkan masa melakukan aktiviti berkumpulan yang menarik di program yang dinamai ‘Genius Muslim: Fun Halal Discoveries’.
“Aktiviti jalinan masyarakat yang julung kali diadakan oleh UMHRC ini bertujuan untuk memberi pendedahan dua hala mengenai fungsi UMHRC kepada masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk berkongsi maklumat dengan masyarakat mengenai konsep halal yang luas, terutamanya kepentingan melakukan penyelidikan yang berterusan,” kata Prof. Dr. Ainin Sulaiman, felo penyelidik kanan UMHRC yang turut menyertai program ini.
Program yang diadakan di Bilik Seminar, Institut Pengurusan dan Pemantauan Penyelidikan (IPPP), UM ini turut menerima kerjasama dari ‘Halal Industry Development Corporation’ (HDC). “Inisiatif ‘Genius Muslim’ ini adalah selaras dengan misi HDC yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan halal serantau dan global. Pengenalan kepada konsep-konsep berkaitan industri halal, seperti samak, sertu, halalan toyyiban, dan keselamatan adalah amat mustahak untuk dikongsi di peringkat awal pendidikan,” kata Izzati Afiqah Mohd. Darif, eksekutif kanan HDC yang turut berkongsi kepakarannya bersama para peserta.
Selain taklimat interaktif mengenai konsep halal kepada para peserta, sebuah aktiviti mencari harta karun secara berkumpulan turut diadakan. Para peserta telah dibahagikan kepada enam kumpulan, dan diminta menyiapkan tugasan yang disediakan di setiap stesen aktiviti. “Dengan bantuan fasilitator yang terdiri dari kakitangan UMHRC, para peserta perlu berfikir dan berkerja secara berkumpulan bagi melaksanakan tugasan yang diberi. Kesemua tugasan, biar pun kelihatan ringkas, telah diselitkan dengan maklumat dan soalan untuk mednguji kefahaman mereka mengenai konsep halal yang sebenar,” kata Prof. Dr. Ainin lagi.
Menariknya, salah sebuah tugasan yang disediakan adalah pengecaman logo halal yang diiktiraf. “Tugasan ini sangat bermanfaat kerana logo halal rasmi dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan sahaja memberikan keyakinan kepada pengguna mengenai status halal kandungan produk yang dihasilkan, malah turut meliputi aspek keselamatan dan kebersihan proses pembuatan secara keseluruhannya,” kata Izzati Afiqah yang turut mengambil bahagian.
Program ‘Genius Muslim’ ini diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah dan cenderahati kepada para peserta. “Berdasarkan maklum balas yang diberi, program ini akan diadakan lagi pada masa akan datang. Bukan hanya sebagai memenuhi sasaran tahunan UMHRC sebagai sebuah pusat penyelidikan yang prihatin, malah program ini telah terbukti sebagai platform terbaik bagi mengetengahkan peranan penyelidikan halal kepada masyarakat,” kata Prof. Dr. Ainin mengakhiri temubual.
UMHRC telah ditubuhkan pada tahun 2014 bagi membantu usaha negara menjadi hab halal global. Antara lainnya, UMHRC menawarkan khidmat nasihat dan latihan berkaitan industri halal melalui bengkel, kursus pendek, dan kursus profesional yang diiktiraf.
Maklumat lanjut mengenai program ‘Genius Muslim: Fun Halal Discoveries’ dan UMHRC boleh didapati melalui Naemah Suhaimi di enasnaem@um.edu.my