Oleh: Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Darkside juga dikenali sebagai DS dalam kalangan remaja dan muda-mudi adalah satu gejala sosial yang perlu dibendung dan sedang berleluasa di Malaysia. Ramai ibu bapa, suami isteri atau sesiapa sahaja bila terbaca singkatan nama Darkside iaitu DS mungkin terfikir ianya adalah akronim kepada Dewan Selera, Drop Ship dan pelbagai nama lain. DS atau Darkside mengikut terjemahan kamus membawa maksud sebahagian atau sisi invididu, kumpulan dan aktiviti yang memberikan kesan buruk, tidak bermoral dan membahayakan. Setiap individu mungkin tidak mempamerkan keseluruhan keperibadian kepada dunia malahan ada sisi yang disimpan rapi. Ciri-ciri keperibadian atau personaliti yang dianggap tidak menyenangkan atau tidak sesuai cenderung untuk disembunyikan dari pengetahuan ramai.
Carl Jung dalam Teori Psikoanalisis, menyatakan bahawa setiap individu mempunyai personaliti yang positif dan negatif. Kualiti positif yang dipamerkan kepada dunia luar dikenali sebagai ‘pesona’ manakala personaliti yang menunjukkan sisi gelap ini dilambangkan sebagai ‘bayangan’ dan ianya boleh mempengaruhi kehidupan individu dalam pelbagai cara. Fikiran dan perasaan yang dilabelkan secara berbahaya atau tidak menarik ini secara tidak sedar sering diketepikan (repress).
Bagi memenuhi perasaan yang bergelora dan membuak-buak dengan keinginan fisiologi, ramai dalam kalangan anak-anak remaja, penuntut di universiti dan dewasa muda telah terjebak dengan DS and menjadi sebahagian dari kumpulan yang lebih dikenali sebagai Komuniti DS di platfom Twitter. Medium ini telahpun disalahgunakan bagi menyampaikan berita palsu, fitnah selain khidmat langganan seks. Di sini, setiap ahli komuniti DS dalam Twitter, bebas menyatakan alter-ego dan membuat pengakuan sisi gelap yang berbeza dari dunia sebenar tanpa sebarang sekatan dengan menggunakan akaun Twitter palsu.
Akaun DS dibanjiri dengan teks berbaur lucah, gambar-gambar yang mengghairahkan, dijadikan tempat melempiaskan nafsu serakah dan wujud kejadian di mana ianya berakhir di ranjang dan kemungkinan berlaku curang terhadap pasangan sekiranya telah bernikah. Modus operandi adalah berkenalan di Twitter diikuti dengan teks yang berunsur seks, menunjukkan gambar masing-masing dalam keadaan yang menjolok mata tanpa seurat benang dan sekiranya suka sama suka, maka mereka akan diajak untuk mengadakan hubungan intim atau seks. Perkara ini dianggap sebagai situasi menang-menang (win-win situation) kerana dua individu dapat melepaskan keinginan seks tanpa perlu ada komitmen dan rasa tanggungjawab. Gejala sosial ini bukan sahaja dalam kalangan anak-anak muda tetapi juga wujud segelintir isteri dan suami yang menjalinkan hubungan seks bebas dengan orang lain melalui medium Akaun DS Twitter ini.
Penyalahgunaan media sosial dan pengaruh rakan sebaya merupakan antara faktor yang terus menjerumuskan anak-anak muda ini dalam kancah gejala sosial. Selain itu, dunia tanpa sempadan, maklumat di hujung jari membolehkan semua maklumat diterima tanpa ditapis. Pengaruh budaya barat mula diterapkan dalam konteks kehidupan anak-anak muda ini. Malahan mereka ini berbangga di usia muda telahpun melakukan hubungan terlarang. Siapakah yang hendak dipersalahkan? Di manakah sifat malu yang sering dikaitkan dengan budaya kita? Gejala sosial perlu dibendung dari peringkat awal.
Gejala Akaun DS telah wujud dan ramai ibu bapa dan komuniti di luar sana yang tidak sedar tentang penularan virus baru yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini. Tambahan lagi, hasil siasatan dan pemerhatian dalam laman Twitter kumpulan DS ini, mereka tanpa segan silu dan perasaan penuh bangga bercerita tentang pengalaman berkongsi gambar bogel dengan orang lain tanpa memikirkan kesan pada diri di masa hadapan.
Penularan virus DS yang membunuh jiwa anak-anak remaja dan dewasa muda amat merbahaya kerana mereka adalah harapan negara di masa hadapan. Komuniti DS di Twitter merupakan satu eksploitasi seksual yang wujud. Lebih menakutkan sekiranya ia menjadi satu tempat pornografi kanak-kanak dan mengalakkan dua individu atau lebih yang terlibat dalam aktiviti seks bebas heteroskesual dan homoseksual. Ini boleh mengakibatkan peningkatan penyakit kelamin dan penularan HIV dalam kalangan muda-mudi di Malaysia, selain peningkatan kes pembuangan bayi.
Dalam era globalisasi, remaja pada zaman ini melalui proses tumbesaran yang berbeza dengan golongan remaja terdahulu. Pendidikan berterusan mengikut proses perkembangan remaja itu sendiri perlu diterapkan dari awal. Ibu ayah perlu sentiasa peka dan mendidik mereka dengan nilai-nilai murni sedari awal. Itu sahaja tidak mencukupi, mereka perlukan tumpuan dan kasih sayang yang berterusan. Sistem sokongan keluarga perlu dipertingkatkan melalui aktiviti yang mereka laksanakan serta kenalilah siapa rakan anak-anak kita. Sikap ambil tahu perlu diwujudkan semula.
Kaunseling merupakan salah satu medium membantu individu mendapat celik akal dan mendidik remaja serta orang ramai tentang sesuatu perkara, kesan dan implikasi terhadap mereka.
Ramai yang beranggapan bahawa kaunseling hanyalah untuk membantu mereka yang mempunyai isu atau masalah sahaja. Tanggapan itu tidak tepat sama sekali kerana kaunseling adalah satu medium untuk membimbing dan mendidik tentang bahaya Akaun DS dan kesan terhadap diri dan keluarga melalui kaedah psikopendidikan. Sekiranya dilaksanakan dalam kumpulan, kaunselor dapat mendidik ilmu yang berkaitan dan boleh digunakan dalam program pencegahan. Peranan perlu dimainkan oleh semua yang berkepentingan dalam mendidik rakyat Malaysia bagi membendung masalah ini dari menjadi barah dalam masyarakat. Tindakan dari pihak berkuasa juga diperlukan untuk membantu usaha ini dan membanteras jenayah seksual yang semakin berleluasa.
Penulis merupakan Kaunselor Berdaftar dan Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my