Oleh: Prof Madya Dr Monika@Munirah Abd Razzak
Media baharu atau ‘teknologi informasi tanpa sempadan’ bukan lagi suatu perkara yang asing bagi kehidupan manusia. Ia boleh dicapai dan digunakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja seseorang berada. Media ini digambarkan sebagai media digital yang mempunyai beberapa ciri istimewa seperti boleh dimanupulasi, padat dengan informasi, interaktif dan tidak berat sebelah. Selain itu, ia mudah dikendalikan dan senang untuk diuruskan bagi memperolehi maklumat-maklumat di seluruh dunia.
Walau bagaimanapun, kemunculan media baharu ini telah memberi impak yang besar terhadap kehidupan manusia. Berbeza dengan media tradisional atau media lama seperti media cetak, media elektronik, media siaran dan media interpersonal lain. Ia secara langsung telah mengubah pola kehidupan masyarakat, budaya, nilai, cara berfikir dan hampir segala aspek dalam kehidupan manusia. Bahkan perkembangan media baharu ini mendapat tanggapan yang pelbagai, ada yang positif dan ada yang negatif.
Mengikut statistik, terdapat lebih 30.25 juta pengguna media sosial di Malaysia pada awal tahun 2022. Ia mewakili 91.7% dari populasi rakyat Malaysia. Pengguna media sosial paling tinggi adalah YouTube iaitu sebanyak 23.60 juta. Ini diikuti oleh Facebook 21.70 juta, Instagram 15.55%, TikTok 14.59 juta dan Twitter 4.40 juta. Malah peratusan individu menggunakan internet mengikut lima aktiviti internet teratas, Malaysia, 2020-2021 melaporkan 99% individu menyertai rangkaian sosial, 91.8% memuat turun gambar, filem, video, musik dan permainan.
Memandangkan ia bergerak tanpa sempadan dan batasan serta tidak memerlukan kehadiran fizikal antara manusia, maka kemanfaatannya adalah tidak terhingga dalam komunikasi dan informasi. Namun dari sudut yang lain, ia turut mengakibatkan kesan negatif jika digunakan secara tidak bertanggungjawab dengan memaparkan isu sensitiviti agama serta idea-idea pengganasan dan radikalisme khususnya kepada umat Islam yang mempunyai kefahaman agama yang cetek.
Jelasnya, penggunaan media secara berleluasa dengan memaparkan isu sensitiviti agama menimbulkan kebimbangan ramai pihak kerana pengaruh media boleh membentuk kebanyakan persepsi masyarakat. Situasi ini dapat dilihat seperti video yang memaparkan sisi negatif agama Islam secara ketara seperti yang dimuatnaik di YouTube iaitu filem Innocence of Muslim yang secara terang dan jelas menghina Rasulullah SAW, Submission dan Fitna.
Kontroversi filem Submission adalah kerana ia mempersoalkan hak wanita Muslim yang bertudung dan mendakwa Islam menggalakkan kekejaman terhadap wanita melalui pemakaian tudung. Malah, filem ini turut melakukan penghinaan terhadap ayat al-Quran dengan melukis ayat al-Quran di tubuh badan wanita yang berpakaian nipis dan jarang. Manakala filem Fitna pula merupakan hasil daripada ekstremis orientalis kerana memaparkan wanita Islam adalah mangsa penindasan dalam Islam di masa kini mahupun masa hadapan. Ramai yang mengkritik pengarah filem Fitna yang bernama Wilders dan ada yang turut berkongsi pandangan dan pemahaman tentang Islam yang sebenar.
Ketiga-tiga filem ini adalah kesan daripada sikap prejudis dan prasangka negatif daripada mereka yang anti Islam. Ia telah mengelirukan masyarakat bukan Islam dan tidak mustahil umat Islam turut sama keliru mengenai ajaran agama Islam. Dalam menjawab kekeliruan dan sikap prejudis ahli anti agama Islam ini, beberapa mekanisme telah digerakkan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk menghuraikan kekeliruan. Antaranya adalah melalui media termasuklah media tradisional, elektronik atau media baru.
Di samping itu, terdapat beberapa insiden keganasan dunia yang berlaku di bandar New York pada 11 September 2001 telah mengorbankan ribuan nyawa dan peristiwa pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 pula dikaitkan dengan terrorisme yang menggemparkan seluruh dunia.
Ini diburukkan lagi, dengan berlakunya penderaan anti-Muslim dalam talian pada laman rangkaian sosial, seperti Twitter. Ia boleh dikategorikan sebagai gangguan siber, buli siber, penyalahgunaan siber dan kebencian siber. Kebanyakan komen yang disiarkan dalam talian melalui laman rangkaian sosial tersebut mempunyai nada ekstremis dan pembakar semangat.
Selain itu, ia tidak terhad kepada tapak rangkaian sosial sahaja malah berlaku juga di blog, bilik sembang dalam talian, dan platform maya lain yang boleh digunakan untuk mempromosikan kebencian siber dalam talian dan Islamofobia. Selalunya ia dalam bentuk jenaka perkauman dan gurauan stereotaip. Jika insiden ini tidak dikawal, hal negatif ini juga boleh membawa kepada peningkatan penyalahgunaan dalam talian dan normalisasi tingkah laku tersebut, termasuk serangan fizikal.
Tambahan pula, terdapat juga peningkatan jenayah kebencian kerana persepsi negatif identiti wanita yang berhijab di tempat kerja, institusi pendidikan dan tempat rekreasi. Memandangkan terdapat beberapa peringkat amalan hijab dalam kalangan wanita Islam. Melalui pemerhatian, bahawa semakin besar amalan hijab atau dalam kata lain, penutupan secara konservatif, semakin besar diskriminasi yang dilaporkan di negara barat.
Lanjutan itu, diskriminasi dan gangguan kepada wanita berhijab contohnya di Amerika Syarikat berlaku secara agresif di peringkat mikro. Pengalaman ini telah mewujudkan perasaan terasing dalam kalangan wanita berkenaan dan mereka menganggap diri mereka seperti orang luar yang tidak mencapai standard Amerika.
Di beberapa negara, seperti Perancis, ia telah menyamakan larangan berniqab di tempat awam atas nama keselamatan dan asimilasi. Wanita Islam dilihat mempunyai potensi bahaya apabila memasuki ruang awam dan aktif secara politik dalam kumpulan pelampau.
Pandangan tentang tudung ini telah mendorong orang Barat yang liberal untuk cuba membantu wanita Islam ‘menyingkap’ diri mereka dalam usaha menyelamatkan mereka daripada apa yang mereka anggap sebagai agama yang mundur dan menindas. Pandangan wanita Islam bertudung yang tertindas ini bukan sahaja mendominasi media arus perdana, ia juga telah meresap ke dalam urusan politik. Mereka dianggap sebagai mangsa yang tidak berdaya yang perlu diselamatkan daripada kedua-dua penindasan dan ekstremisme. Media Barat arus perdana menggambarkan mereka sebagai pasif dan tidak bersuara.
Rentetan daripada isu-isu tersebut juga, prinsip kebebasan beragama dan hak asasi manusia yang berlaku di luar negara turut berlaku di Malaysia yang menyebabkan timbulnya kecenderungan dalam kalangan umat Islam untuk mengemukakan pelbagai pandangan dan tafsiran peribadi terhadap sesuatu isu agama. Sebagai contoh apa yang dikongsikan dalam media sosial mengenai tafsiran ayat al-Quran yang dikatakan mempunyai maksud berkaitan dengan penularan wabak COVID-19. Ini berikutan pemakluman oleh Kementerian Kesihatan tentang jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia sebanyak 3,333 pada tahun 2020 yang lalu. Keadaan itu menjadikan ada pihak mengemukakan teori kononnya 3,333 jumlah jangkitan itu berkaitan dengan tafsiran ayat 33 pada surah ke-33 iaitu surah al-Ahzab yang menyebut waqarna dan menyamakannya dengan korona kerana bunyinya yang mirip. Mereka menganggap ayat ini bermaksud larangan keluar dari rumah. Hakikatnya ayat 33 surah al-Ahzab tersebut memperihalkan akhlak para isteri Nabi SAW yang menunjukkan ketinggian status dan keunggulan mereka yang boleh menjadi teladan kepada seluruh wanita Muslimah iaitu mereka menjaga akhlak ketika berbicara, memelihara diri semasa keluar dari rumah dan keluar apabila hanya wujud keperluan syarak sahaja serta tegahan berhias diri seperti perempuan jahiliah.
Tegasnya, umat Islam harus cakna dengan perkembangan semasa dan mempertahankan maruah serta kesucian agama Islam itu sendiri dengan memboikot agenda yang didirikan oleh musuh Islam melalui media baharu. Apa yang penting, konten media baharu tersebut perlu diperhalusi dan pihak terlibat perlu bertanggungjawab dalam melaporkan infomasi yang positif, sahih, seimbang serta menjaga sensitiviti agama, bangsa, kaum dan politik. Jadikan media baharu ini sebagai medium untuk menyebarkan ilmu dan dakwah, meningkatkan kesedaran dalam masyarakat bahawa perpaduan itu penting bagi menjamin keharmonian negara, menyemai sikap hormat menghormati antara satu sama lain, memaparkan kasih sayang dengan mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat yang berlainan kaum dan agama.
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan boleh dihubungi di munirahar@um.edu.my