2 February 2023

Pelaburan kita untuk Bumi

Featured

Kisah minggu ketigabelas

Sehari sebelum warga kampus mula bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, pasukan kami sempat menjengah Fakulti Kejuruteraan untuk merakamkan suasana kampus.

Memperkasakan ta’aruf, tafahum dan tasamuh dalam Masyarakat MADANI di Malaysia

Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Let’s craft an ideal 21st century city out of KL

Kuala Lumpur, the capital of Malaysia, has a rich history dating back to the late 1800s. It began as a small tin-mining settlement in the 1850s and was granted city status in 1972. During the late 19th and early 20th centuries, Kuala Lumpur developed rapidly as a centre of tin mining and trade, leading to increased immigration and economic growth.

Normalisasi sembang lucah: Mengemis perhatian murahan

Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah.

Ibu bapa pendamping tumbesaran anak-anak zaman digital

Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Awal tahun 2022 ini, sekumpulan 14 orang Saintis dari Universiti Stockholm telah merumuskan dalam kajian mereka bahawa pencemaran dan pelepasan entiti baru iaitu bahan kimia termasuk plastik telah melepasi sempadan batas planetan. Terdapat 9 batas planetan yang telah dikenalpasti yang mana 5 daripadanya telahpun melepasi sempadan amaran iaitu aliran biogeokimia, integriti biosfera, perubahan sistem tanih, perubahan iklim dan yang terkini pencemaran entiti baru. Empat lagi batas planetan iaitu penggunaan air tawar, pengasidan lautan, peratusan aerosol dalam udara dan penipisan lapisan ozon masih berada di bawah paras yang membimbangkan buat masa ini. Ini menunjukkan yang pendekatan efektif bersama harus dilakukan oleh kita semua sebagai warga planet bumi ini sebelum semua sempadan risiko ini dilepasi dan dunia mengalami kemudaratan yang tidak dapat dibendung lagi.

Pendekatan efektif bersama yang disarankan adalah bersesuaian dengan tema Hari Bumi Antarabangsa 2022 (International Mother Earth Day) iaitu “Melabur untuk Planet” (Invest for Planet). Ini sudah pastilah bukan bermaksud secara terus menggalakkan kita membeli saham syarikat-syarikat yang berteknologi lestari alam walaupun ianya juga sesuatu yang baik. “Pelaburan” untuk planet yang dimaksudkan ialah lebih kepada mengajak setiap daripada kita untuk memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan ekosistem ekonomi hijau melalui anjakkan paradigma yang jelas, sama seperti bagaimana dunia dapat beralih daripada dunia analog kepada dunia digital.

Sementelahan planet bumi yang semakin sesak dan kekurangan sumber, adalah amat wajar untuk sistem sosio-ekonomi kita dianjakkan daripada hanya berpaksikan bahan api fosil kepada sumber-sumber alternatif yang mesra alam. Sebagai pengguna, kita selalu dimomokkan bahawa syarikat gergasi menyediakan produk berasaskan apa yang pengguna mahukan. Ini bolehlah dianggap sebagai mitos kerana sekiranya ianya benar, sudah pastilah sektor pengiklanan dan pemasaran tidak mencatatkan keuntungan yang berlipat ganda setiap tahun.

white plastic bottle on brown soil
Kita boleh melakukan sesuatu untuk Bumi. Lakukannya hari ini (Gambar ihsan Unsplash)

Realiti yang sebenar ialah pengguna mempunya kuasa untuk mendidik syarikat gergasi untuk menjadi lebih mesra alam sekitar dengan mempengaruhi pasaran melalui pilihan pembelian yang bijak. Sekecil-kecil perubahan seperti membeli syampu yang tiada bijian mikroplastik dan mudah terbiodegradasi boleh menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar. Kita sudah boleh melihat kesannya sekarang apabila syarikat pengeluar kenderaan mula menawarkan varian hibrid, varian mesra alam serta varian bijak tenaga bagi memenangi hati generasi muda masa kini yang lebih cakna terhadap isu-isu alam sekitar dan pelepasan bahan pencemaran ke atmosfera. Kita juga seharusnya mementingkan pilihan yang memerlukan pelaburan modal yang sedikit, tetapi memberikan impak yang jelas seperti mengitar semula sisa dan penggunaan tenaga yang cekap.

Sebagai rakyat yang prihatin, kita juga wajar menggunakan hak yang ada untuk memilih kepimpinan yang bukan hanya lantang ingin membawa negara menjadi harimau ekonomi, tetapi juga yang menyasarkan aktiviti ekonomi yang hijau dan mapan. Di samping itu, rakyat juga bertanggungjawab memastikan wakil yang dilantik berperanan membawa suara mereka dalam penggubalan polisi dan undang-undang serta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan sebarang pencemaran alam sekitar yang berlaku di kawasan masing-masing.

Selain itu, kita juga boleh bergerak dalam satu komuniti dalam meminimakan kesan pulau haba bandar (urban heat island effect) melalui penanaman pokok malar hijau yang turut boleh membantu menapis pencemaran dan memelihara sumber air. Jika tinggal di kediaman yang tidak sesuai untuk tanaman pokok kerana kekangan ruang, menanam daun kari, daun kunyit atau tanaman herba lain di dalam pasu juga dapat menghubungkan kita dengan alam dan merupakan satu bentuk pendidikan alam yang baik untuk kanak-kanak.

assorted plastic bottles in black plastic bucket
Pengasingan sisa adalah antara usaha yang boleh dilakukan komuniti untuk sama-sama membantu ke arah penjagaan alam sekitar yang lebih baik (Foto ihsan Unsplash)

Tempat kerja kita juga adalah komuniti kita. Apa yang dapat kita dilakukan ialah dengan melibatkan diri dalam aktiviti dialog sosial berkaitan alam sekitar yang kebanyakkannya bakal dianjurkan oleh majikan masing-masing terutamanya di sekitar tarikh sambutan hari-hari penting seperti Hari Planet Bumi Antarabangsa ini. Melalui platform inilah, kita dapat memainkan peranan dalam memandu proses membuat keputusan yang lebih lestari dan mempengaruhi polisi pengurusan setempat. Di peringkat nasional pula, kerajaan telah dan sedang giat memantapkan strategi dan pelaksanaan inisiatif Malaysia Lestari 2030 selaras dengan Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020-2030 dan kita bolehlah terlibat dalam mana-mana inisiatif pilihan yang dirasakan bersesuaian seperti menjadi sukarelawan dalam Program Denai Sungai Kebangsaan atau menyokong aktiviti ekonomi hijau.

Walaubagaimanapun, usahlah risau jika kita tidak dapat memuatkan kesemua aktiviti kepenggunaan hijau, tindakan komuniti dan kenegaraan yang disarankan dalam kehidupan seharian yang sibuk ini. Melibatkan diri dalam semua perkara tersebut bukanlah satu kewajipan untuk semua tetapi memadailah dengan kita berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk alam sekitar dan planet bumi ini.

Di bulan Ramadan yang mulia ini, lebih-lebih lagi untuk umat Islam, marilah kita hayati pesanan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang boleh diringkaskan membawa maksud; jika esok adalah hari terakhir untuk bumi ini dan di tangan kita ada biji benih, hendaklah kita tanam biji benih tersebut kerana ianya bakal membawa kebaikan.

Prof. Madya Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Penulis ialah Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains dan Timbalan Pengarah, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di ilham@um.edu.my