5 February 2023

Rancang agihan harta sebelum terlambat

Featured

Kisah minggu ketigabelas

Sehari sebelum warga kampus mula bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, pasukan kami sempat menjengah Fakulti Kejuruteraan untuk merakamkan suasana kampus.

Memperkasakan ta’aruf, tafahum dan tasamuh dalam Masyarakat MADANI di Malaysia

Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Let’s craft an ideal 21st century city out of KL

Kuala Lumpur, the capital of Malaysia, has a rich history dating back to the late 1800s. It began as a small tin-mining settlement in the 1850s and was granted city status in 1972. During the late 19th and early 20th centuries, Kuala Lumpur developed rapidly as a centre of tin mining and trade, leading to increased immigration and economic growth.

Normalisasi sembang lucah: Mengemis perhatian murahan

Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah.

Ibu bapa pendamping tumbesaran anak-anak zaman digital

Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Mashitoh Mahamood

Agihan harta dan pusaka tidak semestinya berlaku setelah seseorang itu sudahpun meninggal dunia. Tanggapan bahawa agihan harta hanya berlaku melalui peninggalan harta pusaka semata-mata merupakan tanggapan yang tidak tepat sepenuhnya. Di ruangan ini saya ingin berkongsi tentang keunikan dan fleksibelnya beberapa kaedah pelaksanaan agihan harta orang Islam lainnya yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat.

Dalam Islam, suatu perancangan harta boleh dibuat untuk dilaksanakan sama ada semasa hidup seseorang pemilik harta mahupun selepas kematiannya. Ianya pula boleh diberikan kepada waris dan bukan waris, tertakluk kepada peraturan-peraturan yang terpakai kepada instrumen yang dipilih. Fakta ini memberikan fleksibiliti kepada seseorang untuk memperuntukkan sebahagian harta yang dimilikinya bagi faedah ahli keluarga dan penerima yang ditentukan. Meskipun agihan harta menerusi pusaka merupakan kaedah utama yang pasti dilaksanakan ke atas harta milikan seseorang semasa kematiannya, namun terdapat beberapa mekanisme perancangan kehartaan yang boleh dibuat oleh seseorang pemilik harta.

man in white shirt carrying girl in gray shirt
Rancang pembahagian harta keluarga untuk kemudahan pada masa akan datang (Gambar hiasan dari Unsplash)

Perancangan harta melalui hibah misalnya boleh dibuat kepada waris dan bukan waris untuk dikuatkuasakan semasa hayat seseorang penghibah. Seorang anak angkat boleh dinamakan sebagai benefisiari atau penerima hibah walaupun dia bukanlah waris yang sah menurut Hukum Syarak. Jika tiada apa-apa pemberian untuknya menerusi hibah, wasiat atau lainnya, maka seseorang anak angkat tidak boleh memiliki harta yang ditinggalkan. Dia juga bukanlah seorang waris pusaka (melainkan jika ada hubungan dengan pemilik harta berkenaan yang melayakkannya mendapat bahagian di dalam harta peninggalan si mati). Begitu juga anggota keluarga atau pihak bukan beragama Islam boleh dinamakan oleh penghibah sebagai penerima hartanya. Hibah juga boleh dibuat kepada ahli waris seperti kepada anak-anak. Menurut jumhur fuqaha’, pemberian secara adil kepada mereka adalah sunat. Penting untuk dinyatakan di sini juga bahawa harta yang dihibahkan wajar dibuat pindahmilik semasa hidup penghibah bagi mengelakkan berlakunya sebarang pertikaian semasa kematiannya nanti khususnya apabila agihan harta hendak dilaksanakan. Pastikan juga penerima harta telah mengambil milikan harta yang dihibahkan kepadanya seperti mengusahakan tanah atau mendiami rumah yang dihibahkan di samping melaksanakan urusan pindahmilik yang disebutkan tadi supaya pelaksanaan hibah tersebut sempurna dan tidak boleh dipertikaikan lagi setelah itu, kecuali jika terdapat unsur-unsur tak wajar lain yang berlaku atau yang berbangkit mengenainya.

Selain hibah, seseorang pemilik harta boleh mewasiatkan hartanya untuk dinikmati oleh penerima yang ditentukan dengan takat tidak melebihi 1/3 daripada baki bersih harta peninggalannya selepas kematiannya nanti. Jika berlaku lebihan, maka kesahannya bergantung kepada persetujuan waris lain selepas kematian pewasiat. Wasiat juga tidak boleh dibuat kepada ahli waris melainkan ahli waris lain bersetuju selepas kematian pewasiat. Wasiat juga boleh diperuntukkan untuk tujuan agama dan khairat umum seperti untuk maslahat tempat peribadatan, kepada fakir miskin dan lainnya dengan berpandukan kepada hukum wasiat dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan tadi. Sebagaimana hibah, wasiat juga boleh diperuntukkan kepada anggota keluarga atau pihak bukan beragama Islam.

brown and white concrete building
Rumah kediaman juga merupakan harta yang perlu diambilkira dalam pembahagian harta (Gambar hiasan dari Unsplash)

Selanjutnya, wakaf boleh juga dijadikan kaedah perancangan harta malah ianya merupakan cara terbaik untuk seseorang bersedekah dan menginfaqkan hartanya. Wakaf juga memberi peluang terbaik kepada seseorang pemilik harta untuk berbakti kepada anggota keluarganya melalui instrumen wakaf keluarga (juga dikenali sebagai wakaf zurri atau wakaf ahli). Sebagaimana hibah dan wasiat, wakaf juga boleh dibuat kepada anggota keluarga atau pihak bukan beragama Islam. Berbanding dengan konsep harta-harta yang lain, wakaf dapat mempastikan manfaat berkekalan diperolehi oleh penerimanya. Ini kerana konsep wakaf memerlukan fizikal asal harta yang diwakafkan untuk dikekalkan di mana hanya manfaatnya sahaja yang diberikan kepada penerima yang berkelayakan atau digunakan untuk tujuan yang diakui sah. Harta yang diwakafkan tidak boleh terlibat dalam sebarang bentuk transaksi pindahmilik dan tidak boleh dijual, diwarisi oleh waris pewakaf dan tidak boleh dihibahkan kepada penerima atau tujuan yang lain. Apa yang menarik juga dalam wakaf ini adalah ianya telah diiktiraf sebagai sedekah jariah yang mana seseorang yang berwakaf akan diberikan ganjaran pahala yang tidak putus oleh Allah SWT walaupun dia telah meninggal dunia. Pastikan wakaf yang dibuat didaftarkan sewajarnya dengan Majlis Agama Islam negeri kerana badan ini merupakan pemegang amanah tunggal harta wakaf negara mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

Perkara penting yang perlu diketahui oleh masyarakat juga adalah perlunya hasrat dan agihan-agihan harta yang dibuat tadi dilaksanakan menerusi suratcara dan sighah yang jelas dan sah menurut Hukum Syarak. Ini supaya dapat memmastikan hasrat dan keinginan pembuat harta dapat dilaksanakan secara sah dan boleh berkuatkuasa tanpa masalah berbangkit di kemudian hari.

Demikianlah beberapa kaedah perancangan harta dan pusaka yang boleh dilaksanakan oleh seseorang pemilik harta secara fleksibel. Ternyata ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada ummah dan orang tersayang, malah ganjarannya turut diperolehi si pembuat harta. Tanpanya, harta peninggalan akan tetap diagihkan mengikut hukum pusaka dengan takat dan agihan tertentu kepada ahli waris yang ditinggalkan. Walau apapun, pusaka kekal sebagai instrumen agihan harta yang utama berdasarkan ketetapan yang adil menurut kacamata Syariah.

Penulis ialah Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.