4 December 2024

Ahmad Fahim Mahmud

Featured

Elak terperangkap dengan cinta ekspres

Oleh: Dr. Norsafatul Aznin binti A. Razak Dalam era moden...

Beyond the blessing

By Dr Cherish How As the Year of the Dragon...

Memperkasa mereka

Kesihatan mental remaja adalah salah satu aspek yang penting...

Algorithms of abuse

By Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid Human trafficking is the...

Working together

By: Professor Dato Dr Ahmad Ibrahim The Tropical Science Foundation...

Share

Apabila mula-mula dimaklumkan mengenai temujanji bersama juruteknik ini, kami menyangka akan dibawa bertemu seorang yang bertugas di dalam bengkel atau makmal dan sedang menyenggara sesebuah peralatan.

Rupanya sangkaan kami meleset.

Seorang anak muda yang berpakaian kemas sedang menunggu, saat kami menjejakkan kaki ke pejabatnya di Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Risiko dan Alam Sekitar (OSHREC) yang terletak di Aras 3, Bangunan Canseleri.

“Ya memang ramai yang agak keliru dengan nama kompetensi saya,” kata Ahmad Fahim Mahmud, 35, Penolong Pegawai Sains C29, memulakan perbualan kami petang itu.

“Walaupun ada perkataan juruteknik di dalamnya, namun skop tugas kami lebih luas dari seorang juruteknik biasa. Juruteknik Higien 2 merupakan satu kompetensi khusus di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Kementerian Sumber Manusia. Dan di bawah Peraturan Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan (USECHH) 2000, saya bertanggungjawab untuk menjalankan pemeriksaan dan ujian terhadap peralatan kawalan kejuruteraan yang khusus,” terang anak jati Tumpat, Kelantan ini panjang lebar.

“Abang pernah dengar peralatan yang dipanggil ‘fume hood’?” tanya Fahim.

Seraya menggeleng, saya berkata, “Kalau Robin Hood, tahulah,” sambil tersengih.

“Jauh tersasar tu bang. Tak apa, biar saya terangkan. ‘Fume hood’ atau kebuk wasap ini banyak digunakan di dalam makmal yang menggunakan bahan kimia, bagi mengelakkan kita terhidu bahan kimia yang berbahaya. Kebuk wasap yang beroperasi dengan baik akan memastikan ujikaji dapat dijalankan dengan selamat.

Dan menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan kesemua 650 ‘fume hood’ di Universiti Malaya ini berfungsi dengan sebaiknya. Bukan setakat peralatannya, malah saya juga akan memastikan saluran pengudaraannya juga berfungsi dengan baik. Kadang-kadang saya terpaksa memanjat ke atap bangunan dan memeriksa cerobong asap!” tambahnya lagi.

Mungkin melihat kami yang mula mengagumi tugasnya yang kedengaran mencabar, pantas ayah penyayang kepada seorang cahaya mata ini mengajak, “Jom kita pergi ke Bangunan Makmal Kimia di Fakulti Sains, di mana lebih 200 ‘fume hood’ ini berada. Mungkin abang akan lebih faham macam mana ‘best’nya kerja saya.”

Dari mula menaiki kenderaan rasmi OSHREC yang diparkir di aras bawah bangunan Canseleri sehinggalah kami menjejaki bumbung Bangunan Makmal Kimia itu, jejaka peramah ini tidak jemu berkongsi mengenai tugasnya dan perjalanan hidupnya. Bermula dari seorang pelajar aliran sains di SMK Berangan, Tumpat, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah dalam bidang Biologi di UiTM, dan mula bertugas sebagai Penolong Pegawai Sains di UM pada 2012.

Dek pelbagai peluang yang ada semasa di UM, Fahim memberanikan diri mengambil ujian bagi sijil kompetensi DOSH pada 2015. Setelah menjadi satu-satunya calon dari UM yang lulus pada tahun tersebut, minatnya di dalam bidang kesihatan dan keselamatan pekerja semakin menebal, sehingga berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Kejuruteraan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE) pada tahun 2022.

“Secara jujur, walaupun saya merupakan satu-satunya Juruteknik Higien 2 yang ada di seluruh institut pengajian tinggi awam Malaysia; namun kepuasan sebenar dalam tugas saya ialah apabila saya mula diiktiraf sebagai pakar rujuk dalam segala hal melibatkan pemeriksaan dan tatakelola penggunaan kebuk wasap ini.

Saya paling gembira bila dijemput berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada para penyelidik dan pelajar. Biarlah orang kata saya terlebih kelayakan untuk jawatan Penolong Pegawai Sains ini, namun yang paling penting saya bertugas dengan ikhlas dan sama-sama membantu UM memberi khidmat kepada negara,” kata Fahim mengakhiri temubual kami petang itu, di bumbung Bangunan Makmal Kimia.

Jelas sekali Fahim seorang yang ‘passionate’ di dalam tugasnya, dan sedang membantu UM membina ‘a global university, impacting the world’.

Anda bagaimana?

📸 Photos by Mohd. Yani Alias for BPP (2023).