4 December 2024

Duan Nago Bogho ada kunci Malaysia Madani

Featured

Beyond the blessing

By Dr Cherish How As the Year of the Dragon...

Elak terperangkap dengan cinta ekspres

Oleh: Dr. Norsafatul Aznin binti A. Razak Dalam era moden...

Memperkasa mereka

Kesihatan mental remaja adalah salah satu aspek yang penting...

Algorithms of abuse

By Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid Human trafficking is the...

Bahasa jiwa bangsa

Oleh: Prof. Madya Dr. Salinah Jaafar Bahasa Melayu atau bahasa...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri

Malaysia Madani yang digagaskan secara rasmi sebagai sebuah dasar negara oleh Perdana Menteri pada 19 Januari 2023 merupakan sebuah kerangka yang ringkas tetapi padat, dengan objektif utama mengembalikan semula Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani.

Ringkas kerana hanya mengandungi sebilangan ‘rukun’ dan elemen yang tergaris, dan padat kerana turut menyenaraikan tunjang, pembolehdaya, dan keperluan yang perlu dibekal dan dilaksana.

Walaupun sebilangan besar tanggapan sinis yang dilontarkan terhadapnya (seperti mana yang juga diterima oleh mana-mana dasar dan gagasan kerajaan sebelum ini) hanyalah retorik remeh yang dahagakan perhatian di kedai-kedai kopi dan ruangan komen media sosial, namun ada satu soalan yang penulis rasakan kekal relevan untuk ditanya:

Apakah dan di manakah peranan yang perlu dimainkan oleh setiap daripada kita dalam mendokong gagasan ini?

Tentu sahaja enam rukun yang digariskan itu bukan untuk dihafal secara verbatim dan dimuntahkan bila perlu. Tentu sahaja tunjang dan pembolehdaya yang dikenalpasti itu bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi tertentu atau penjawat awam untuk memikulnya. Tentu sahaja gagasan baharu ini bukan tempoh masa untuk mempelajari kosa kata baharu yang acap kali dikongsi PM setiap kali membuka mulutnya untuk berucap.

Bagaimana jika penulis katakan jawapan kepada persoalan awal tadi sebenarnya sudah ada di dalam diri kita, dan juga setiap yang kita lakukan?

Begini. Pada tarikh 19 Januari 2023 juga, sebuah filem tempatan arahan Sabri Yunus telah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara. Majlis pelancaran (atau peluncuran?) ‘Duan Nago Bogho’ telah dilakukan di pawagam GSC Starling Mall, Damansara Utama, Petaling Jaya pada malam sebelumnya. Menteri Komunikasi dan Digital (kita bincang masalah tatabahasa nama jawatan ini di artikel lain, ya?), YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil turut hadir merasmikan majlis, selain kehadiran keluarga produksi dan pemain-pemain industri perfileman negara. Penulis dan beberapa warga Universiti Malaya (UM) turut dijemput hadir atas kapasiti rakan setugas dan majikan kepada pelakon utama, Asrulfaizal Kamaruzaman, yang merupakan Pegawai Kebudayaan Kanan di Fakulti Seni Kreatif, UM.

Sebelum penulis kaitkan dua kejadian yang mungkin paling jauh di antara satu sama lain ini, benarkan penulis berkongsi sedikit jalan cerita filem cinta-aksi terbitan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd ini. Pada masa artikel ini ditulis, tayangan filem ini sudah pun berakhir, jadi tiada masalah dari segi penulis menjadi punca pembocoran ‘spoiler’ dari naskhah berbahasa dialek Kelantan ini.

Penceritaan ‘Duan Nago Bogho’ adalah berkisar perjalanan Duan (penulis menganggap nama sebenarnya adalah Ridzuan, atau yang seumpamanya, kerana tidak dinyatakan langsung sepanjang tayangan) yang berhasrat memulakan hidup baru di Kuala Lumpur, setelah meninggalkan kampungnya di Kelantan. Duan digambarkan sebagai seorang yang agresif, namun sangat mencintai seni persembahan makyung. Seawal dua minit pertama tayangan, pengarah menggunakan konsep ‘cold-opening’ bagi menggambarkan kedua-dua aspek diri Duan ini melalui babak persembahan makyung dan pergaduhan berdarah yang menyusul tidak lama kemudian.

Selebihnya, filem ini memperihalkan cubaan Duan menyesuaikan diri untuk hidup di celah-celah Kuala Lumpur yang mempunyai pelbagai sisi, baik positif mahu pun negatif. Sisi dirinya yang kental dengan semangat seni persembahan makyung, diterapkan melalui babak hubungan Duan dengan Awi (lakonan Saidi Sabri), rakan lamanya dari kampung, dan juga Nancy (lakonan Jojo Goh) dan Salmi (lakonan Sangeeta Krishnasamy), watak-watak bukan Melayu yang digambarkan ingin menjiwai seni makyung secara dekat dan praktikal. Sisi negatif dirinya pula digambarkan melalui konflik diri Duan yang mudah memilih jalan pergaduhan sebagai penyelesai masalah, termasuklah apabila cuba ‘membantu’ orang lain menyelesaikan masalah mereka. Menariknya juga, filem aksi ini turut menyisipkan konflik pembugaran cinta tiga segi di antara Duan, Nancy, dan Salmi.

Pemperihalan filem ini secara terperinci kemungkinan besar tidak mungkin dapat dilakukan secara adil oleh penulis, kerana pastinya terdapat banyak lagi mesej tersirat atau hasrat dari kedua-dua pengarah dan penerbit yang diadun di dalam filem ini. Namun, jelas kelihatan garapan konsep ‘Hero’s Journey’ yang digunakan, dan ini sangat membantu dalam menyampaikan mesej utama ‘Duan Nago Bogho’. Dan mesej inilah yang ingin penulis utarakan sebagai kunci yang dimaksudkan di dalam persoalan mengenai peranan kita semua dalam merealisasikan Malaysia Madani.

Di dalam filem ini, Duan sebenarnya hanya menjadi dirinya. Di sepanjang-panjang tempoh tayangannya, kita dihidangkan dengan setiap sisi hidupnya yang ingin menjadi Duan yang lebih baik (tahap sosioekonomi dan status dalam masyarakat). Cabaran utamanya datang dari hambatan kesilapan masa lalu (rakan-rakan, sistem sokongan dan persekitaran dunia gelap yang penuh masochisme, tetapi selesa) yang tidak membenarkan Duan meneroka potensinya yang lebih luas (makyong bukan hanya untuk tatapan masyarakat kampung di tepi pantai).

Kesemua ini, pada pandangan naif penulis, menggambarkan kita semua dalam setiap titik perjalanan kehidupan. Kita semua adalah Duan, ingin menjadi seseorang atau sesuatu yang lebih baik; namun pada setiap detik dan ketika juga turut dihambat dengan desakan-desakan yang selalunya hadir dalam bentuk elemen persekitaran masa silam yang kita rasakan selesa. Pemukiman zon selesa inilah yang menidakkan kita menghampiri potensi diri kita yang sebenar.

Di dalam konteks gagasan Malaysia Madani, kita sebenarnya telah diberikan sebuah peta bagi membantu kita meneroka jalan keluar dari zon selesa ini. Perjalanannya kelihatan (sememangnya!) sukar, namun kita dijanjikan sesuatu yang tidak ternilai di penghujung perjalanan itu kelak. Sebagaimana juga Duan, yang digambarkan akhirnya menjejakkan kakinya ke fasa baharu dalam hidupnya setelah hampir-hampir terbunuh dalam mengharungi setiap cabaran hidupnya menyesuaikan diri di ‘dunia’ baharu, hanya berbekalkan diri dan niat yang ikhlas.

‘Duan Nago Bogho’ mungkin bukan sekadar nafas segar dalam industri hiburan yang semakin sesak, namun turut mempunyai peranan yang lebih besar memandu kita semua di dalam gagasan Malaysia Madani dengan jiwa Malaysiana yang jelas.

Penulis merupakan Pengarah, Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di nahrizuladib@um.edu.my