20 April 2024

Imbuhan CEO biar berpada dengan sumbangan

Featured

Hakikat kemenangan sebenar Aidilfitri

Dalam pada kita bergembira menyambut hari raya di negara yang madani, aman dan sentosa, dengan menikmati juadah mewah, berpakaian indah dan bergelak ketawa, jangan sesekali kita alpa dan melupakan nasib yang menimpa saudara seagama kita di luar sana, yang masih lagi menderita kebuluran akibat peperangan.

Jaga adab Aidilfitrimu

Alangkah bertuahnya umat Islam kerana diganjari pahala beribadah apabila menyambut hari raya. Ia salah satu keseronokan yang diberi pahala di sisi Allah SWT apabila betul adabnya dan bersesuaian dengan sunnah Rasullullah SAW.

Ubi kayu is not the answer

Rather than viewing rising costs as insurmountable barriers, we should seek alternative ways to fulfil our actual desires and aspirations. Perhaps it could mean hosting potluck lunches and dinners with friends, where each person brings a dish (or leftovers?) to share. Or perhaps it involves exploring outdoor picnics in the park, or preparing prep-meals for the whole week in the fridge.

Segalanya demi senyuman mereka

Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak mereka menanggung kesakitan. Masalah sakit gigi yang akut selalunya berpunca daripada gigi berlubang yang tidak dirawat. Penyakit ini selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga ianya telah terlambat. Anak anda mungkin mengalami masalah tidak boleh makan atau tidur kerana menahan kesakitan yang berpunca daripada gigi.

Malaysia yang bagaimana akan kita tinggalkan kepada mereka?

Barangkali timbul persoalan pada benak sesetengah insan, cukup Muslimkah kita ini apabila mampu menunjukkan kemarahan dalam setiap isu yang berkaitan dengan agama sendiri?

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Ervina Alfan

Isu imbuhan Ketua Pegawai Eksekutif hangat diperdebatkan baru-baru ini di kalangan warga maya dan di media sosial susulan masalah kewangan yang dialami oleh Sapura Energy Berhad. Berikutan daripada cetusan isu tersebut, pelbagai data dan angka yang melibatkan imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif disebarkan di media sosial. Sungguhpun isu ini sedang rancak didebatkan ketika ini, permasalahan yang melibatkan imbuhan Ketua Pegawai Eksekutif ini adalah bukan suatu isu yang baru. Ia telah diperbincangkan dari pelbagai aspek dan sudut pandang sejak sekian lama. Pada ketika sektor ekonomi negara dikenakan sekatan berikutan dengan penyebaran wabak COVID-19, imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif ini telah dilaporkan dan diterbitkan oleh The Edge Markets di dalam sebuah artikel padat dan bernas pada 27 Mei 2021.

Menerusi tajuk yang agak “sensasi” – “Cover Story 2: How much did Malaysia’s top guns take home in 2020?”, penulis, Wong Ee Lin melaporkan dapatan berdasarkan 50 firma teratas dari segi pasaran modal. Menurutnya, pada tahun 2020, 16 Ketua Pegawai Eksekutif telah menerima antara 5 % hingga ke 20% potongan imbuhan, manakala 13 lagi menerima kenaikan imbuhan dan hanya 1 tiada mengalami sebarang kenaikan atau pengurangan imbuhan. Manakala bakinya tidak dapat diselidik dengan lebih mendalam kerana terdapat syarikat yang pada masa laporan tersebut ditulis, belum mengemukakan laporan kewangan mereka, terdapat juga syarikat yang tidak memberikan butiran imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif mereka secara terperinci dan juga keadaan di mana berlaku pertukaran Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun kewangan tersebut, yang menyebabkan perbandingan imbuhan tidak dapat dibuat dengan tepat.

pen om paper
Adakah terdapat keperluan memberi imbalan kepada CEO apabila prestasi syarikat meningkat? (Gambar hiasan ihsan Unsplash)

Menariknya, laporan tersebut memetik bahawa, walaupun syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan getah dan firma teknologi, mengungguli prestasi keseluruhan industri sewaktu sekatan ekonomi diadakan susulan wabak COVID-19, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat berkenaan tidak menerima kenaikan imbuhan yang mendadak walaupun syarikat-syarikat tersebut menerima pulangan kadar keuntungan yang berlipat ganda.

Laporan yang diterbitkan oleh Edge Markets ini memberikan sedikit sebanyak gambaran jumlah imbuhan Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun sebelum dan semasa wabak COVID-19 melanda. Secara dasarnya, imbuhan Ketua Pegawai Eksekutif merangkumi imbuhan dalam bentuk kewangan yang lazimnya merupakan penggajian dalam jumlah yang tetap, dan juga bukan kewangan yang selalunya merupakan ganjaran atau manfaat dalam bentuk selain daripada wang. Ia juga meliputi ganjaran dalam bentuk pemilikan saham atau opsyen, yang lazimnya diberikan apabila prestasi kewangan syarikat meningkat.

Ini menimbulkan persoalan yang seterusnya, adakah imbuhan yang diberikan oleh Ketua Eksekutif tersebut “setimpal” dengan keupayaan, kelayakan dan kepakaran mereka? Di dalam merungkai persoalan ini, terdapat pelbagai sudut pandang perbahasan daripada sudut ilmiah yang sering ketengahkan dan dibincangkan.

Keupayaan dan Bakat Pengurusan

Di dalam sudut pandang Keupayaan dan Bakat Pengurusan, imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif terangkum di dalam istilah “Keupayaan Pengurusan”, di mana keupayaan ini diterjemahkan sebagai kemampuan mereka untuk memacu syarikat di dalam mencapai prestasi kewangan yang lebih baik. Istilah “keupayaan pengurusan” ini adalah penting kerana ia mempunyai perkaitan yang rapat dengan “daya keupayaan yang tinggi”, dan juga “bakat yang tinggi” dalam usaha untuk meningkatkan prestasi kewangan syarikat.

Merujuk kepada hujah yang dikemukakan oleh Wu di dalam perbahasan ilmiahnya, “Incentive contracts and the allocation of talent,” yang diterbitkan oleh The Economic Journal pada tahun 2017, keperluan yang tinggi untuk memberikan “nilai tambah” kepada syarikat menjustifikasikan nilai imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif berbanding dengan pekerja biasa syarikat yang mempunyai “keupayaan yang lebih rendah.” Dalam hal ini, pelbagai kontrak insentif dirangka untuk memberikan “motivasi” kepada pihak pengurusan syarikat menerusi pelbagai mekanisme perkongsian pemilikan, termasuk imbuhan berasaskan prestasi syarikat. Daripada sudut pandang pasaran buruh pengurusan, “keupayaan pengurusan” ini adalah juga berkaitan dengan “bakat pengurusan” berikutan dengan keperluan bagi pengurus ini untuk membuktikan “bakat” mereka supaya jawatan mereka dapat dikekalkan di dalam syarikat ataupun untuk menarik perhatian kepada “nilai bakat mereka” di dalam pasaran.

Bakat pengurusan seseorang CEO harus dijadikan kayu ukur utama dalam pemberian imbuhan (Gambar hiasan ihsan Unsplash)

Konflik agensi bagaimanapun berlaku di antara agen (pengurusan) dan prinsipal (pemegang saham) sekiranya imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif ini tidak disusuli dengan prestasi kewangan syarikat yang semakin baik dan kukuh, yang mana ini memberikan gambaran bahawa kepentingan pemegang saham terjejas walaupun pengurusan menerima imbuhan mereka. Membincangkan isu ini selanjutnya, konflik agensi yang terjadi di antara agen (pengurusan) dan prinsipal (pemegang saham) merujuk kepada Konflik Agensi Kelas 1. Bagi firma yang dikawal oleh keluarga, konflik agensi berlaku di antara pemegang saham majoriti dan pemegang saham minoriti – di mana ianya dirujuk sebagai Konflik Agensi Kelas 2. Ini bermakna bahawa, jika imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif tidak menyumbang kepada peningkatan prestasi kewangan syarikat, kepentingan pemegang saham minoriti akan terjejas. Konflik ini berlaku kerana pemegang saham majoriti adalah merupakan pemegang saham yang mengawal syarikat menerusi Lembaga pengarah, dan juga jawatan pengurusan di dalam syarikat berkenaan. Terdapat banyak penyelidikan yang menunjukkan bahawa, bagi firma yang dikawal oleh keluarga, Konflik Agensi Kelas 2 dapat diimbangi sekiranya Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik adalah dari pihak pengurusan yang profesional berbanding dengan pemilik syarikat, menunjukkan bahawa firma diuruskan dengan lebih baik oleh golongan profesional.

Kuasa Pengurusan

Kuasa Pengurusan mengetengahkan sudut pandang bahawa pihak pengurusan mempunyai “kuasa” dan keupayaan untuk mempengaruhi jawatankuasa imbuhan dan seterusnya menetapkan nilai premium imbuhan kepada diri mereka sendiri. Beberapa hasil penyelidikan yang lepas menunjukkan bahawa pihak pengurusan yang mempunyai “lebih berkuasa” berupaya untuk mendapatkan imbuhan pada nilai yang premium berbanding dengan pihak pengurusan yang “kurang berkuasa.” Maklum bahawa aktiviti yang oportunistik ini akan ditolak secara langsung oleh para pemegang saham, pelbagai pakej imbuhan akan disusunatur dan dirangka supaya aktiviti ini tidak kelihatan atau terlindung daripada dikesan oleh pemegang saham.

Menurut sudut pandang ini, pihak pengurusan yang berada lebih lama di dalam sesebuah syarikat akan mempunyai potensi untuk menjana “lebih kuasa” berbanding dengan pihak pengurusan yang baru sahaja dilantik. Di dalam penyelidikan yang telah dijalankan pada tahun 2019 bertajuk, “Does CEO compensation reflect managerial ability or managerial power? Evidence from the compensation of powerful CEOs” yang diterbitkan oleh Journal of Corporate Finance, Song dan Wan yang menjalankan penyelidikan berdasarkan dua sudut pandang ini – “Keupayaan Pengurusan” dan “Kuasa Pengurusan” menariknya merumuskan bahawa, imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif adalah lebih terarah kepada sudut pandang “Keupayaan Pengurusan” berbanding dengan “Kuasa Pengurusan.”

Keupayaan Pengurusan dan Kuasa Pengurusan adalah antara sudut pandang yang lazimnya diguna pakai sebagai asas untuk membincangkan isu imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif dari sudut perbahasan ilmiah. Sungguhpun begitu, terdapat juga kelompok kecil penyelidik yang membahaskan kajian mereka berdasarkan sudut pandang ketidaksamarataan di dalam masyarakat, terutama dalam mendebatkan ideologi kapitalisme. Di dalam kajian mereka yang bertajuk “Pay for Corporate Performance or Pay as Social Division? Rethinking the Problem of Top Management Pay in Giant Corporations” yang diterbitkan oleh Competition & Change pada tahun 2005, Erturk, Froud, Johal dan Williams membahaskan bahawa walaupun terdapat kajian lepas yang melaporkan terdapat hubung kait secara langsung antara imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif dengan prestasi kewangan syarikat, mereka mengemukakan hujah berdasarkan data analisa mereka yang melibatkan syarikat korporat “gergasi” dunia, bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada prestasi kewangan.

Justeru, mereka berpendapat bahawa imbuhan yang sangat tinggi kepada Ketua Pegawai Eksekutif tidak dapat dijustifikasikan sebagai menyumbang kepada prestasi kewangan syarikat. Oleh itu ia menyebabkan berlakunya pertambahan pelebaran jurang yang sememangnya besar antara golongan elit iaitu pengurus dan pemegang saham dan golongan pekerja.

Jurang antara setiap komponen di dalam organisasi tidak sepatutnya besar dan meningkat (Gambar hiasan ihsan Unsplash)

Tadbir Urus

Permasalahan berkaitan dengan Imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif ini adalah dalam, meliputi pelbagai pokok dan cabang perbahasan serta sudut pandang dan ia tidak dapat dirungkaikan menerusi ruang penulisan yang agak terhad. Namun begitu, perlu dinyatakan di sini bahawa Imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif adalah salah satu daripada elemen-elemen penting yang disenaraikan sebagai salah satu daripada perkara tadbir urus syarikat yang diberikan perhatian dan penekanan di dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia – Malaysian Code of Corporate Governance (MCCG). MCCG telah menyatakan secara jelas di dalam penerbitannya pada 28 April 2021, muka surat 40, bahawa:

“… Polisi imbuhan yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan strategi syarikat dan prestasi akan menjejaskan pulangan kepada pemegang saham, melemahkan tadbir urus syarikat serta menggugat kepercayaan orang awam terhadap perniagaan.”

Justeru, adalah penting bagi semua pihak, terutamanya bagi syarikat untuk memberikan perhatian terhadap perkara yang telah diberikan penumpuan oleh MCCG seperti yang tersebut di atas – terutamanya di dalam melibatkan proses imbuhan Ketua Eksekutif supaya ianya dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan serta telus. Kegagalan untuk memenuhi keperluan tersebut akan menimbulkan perasaan marah, kecewa dan tidak puas hati di kalangan masyarakat awam, yang rata-ratanya terjejas dan terkesan teruk akibat penularan wabak COVID-19.


Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di ervina_alfan@um.edu.my