21 September 2024

Impak ekonomi umat Islam semasa Ramadan

Featured

Reducing the impact of landslides

By Dr Mohd Talha Anees Almost half of Peninsular Malaysia...

Mengukur kemiskinan asnaf dengan tanda aras multidimensi

Oleh: Dr. Muhammad Nooraiman Zailani Isu kemiskinan amat sukar untuk...

Let’s go for smarter healthcare to stop heart attacks

By Assoc. Prof. Dr. Khor Sook Mei Heart attacks remain...

The treasure in non-coding RNAs

By Assoc. Prof. Dr. Lim Yat Yuen For decades, scientists...

He is the epitome of a leader

By Mohammad Tariqur Rahman The leadership qualities of Prophet Muhammad...

Share

Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

Menyambut Ramadan di dalam fasa endemik adalah satu berita yang amat menggembirakan umat Islam di negara ini setelah dua tahun mereka beraya secara sederhana di kediaman masing-masing. Sudah pasti masing-masing berharap dapat pulang beraya di kampung halaman dan meyambut Syawal seperti sedia kala.

Fasa endemik juga akan memperlihatkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dengan had masa yang lebih panjang. Perkara yang pasti mendatangkan impak posiftif kepada kedudukan ekonomi negara ini yang boleh membawa kepada perkembangan tahap ekonomi di negara ini. Selain itu, pengumuman Perdana Menteri Malaysia mengenai pengeluaran wang KSWP sebanyak RM 10 ribu juga disambut baik oleh rata-rata rakyat terutama bagi mereka yang masih merasai kesan pandemik atau banjir yang berlaku sejak bulan Disember. Aliran wang di dalam negara dijangka lebih banyak sekiranya kesemua pengeluar wang caruman tersebut membelajakannya bagi kegunaan dalam negara.

two Euro banknotes
Hubungan manusia dengan harta amat dititik-beratkan di dalam Islam (Gambar hiasan ihsan Unsplash)

Infak di Ramadan dan keberkatan harta

Para ulama bersetuju bahawa antara sedekah yang paling afdal ialah di bulan Ramadan. Hal ini sejajar degan hadis Nabi Muhammd SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi: Sesiapa yang menjamu makan bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, baginya pahala seperti mereka yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun.

Selain hadis ini, Salman al-Farisi meriwayatkan sebuah hadis sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Misykat al-Masobih karangan al-Tibrizi (w. 741): Sesiapa yang melakukan ibadah sunat untuk menghampirkan diri kepada Allah di bulan Ramadan ia seperti mengerjakan kefarduan di bulan-bulan yang lainnya.

Galakan untuk menginfakkan harta ini tidak terhenti setakat itu, ia juga didasari dengan jaminan Nabi dengan keberkatan terhadap harta mereka yang bersedekah, ia diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berkurangan sesuatu harta itu dengan bersedekah…

Nabi Muhammad SAW terkenal dengan sifat dermawan dan baginda lebih dermawan ketika di bulan yang mulia ini. Perkara ini merupakan satu pedoman yang perlu dipasak di dalam jiwa orang beriman setelah disajikan dengan pelbagai dalil, contoh dan panduan.

Jelas di dalam Al-Quran Allah menyeru agar manusia itu berinfak dan menginfakkan harta yang paling disayanginya seperti di dalam ayat 92 ٍSurah Ali ‘Imran: Membayar zakat fitrah di atas sekalipun berat bagi sesetengah manusia kerana seseorang itu perlu mengeluarkan wangnya di mana ia bertentangan dengan nafsu yang suka memiliki dan melihat nikmat yang banyak.

Bagi melemahkan gangguan nafsu ini, Ramadan disajikan dengan gandaan pahala yang begitu banyak, sekiranya ibadah bersendirian pun digandakan Allah, bagaimana pula ibadah yang berbentuk manfaat atau bantuan kepada orang lain, bersandarkan kepada kaedah: Tindakan yang manfaatnya menjangkau kepada orang lain lebih baik berbanding manfaat yang terhad.

Ramadan sememangnya sinonim dengan gandaan pahala ibadat-ibadat sunat, apatah lagi yang wajib. Boleh dibayangkan bagaimana seseorang yang berinfak ketika Ramadan kepada orang miskin sama ada sedekah sunat atau zakat fitrah yang wajib, infak tersebut kemudiannya memberikan sedikit sinar dan kegembiraan kepada si penerima. Dengan itu terhimpunlah ibadah memberi, menggembirakan orang lain, mendatangkan manfaat dan sebagainya. Nabi Muhammad SAW bersabda: Sebaik-baik ibadah selepas kefarduan ialah menggembirakan hati orang Islam yang lain (Riwayat al-Tobrani); dan sebaik-baik manusia yang disayangi Allah ialah mereka yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain (Riwayat al-Asbahani).

man in white thobe sitting on white floor tiles
Ibadat khusus dan sunat di bulan Ramadan melangkaui masjid dan persekitarannya (Gambar hiasan ihsan Unsplash)

Zakat Fitrah

Zakat fitrah dikategorikan sebagai zakat yang wajib dibayar oleh setiap muslim yang berkemampuan yang juga dikenali sebagai zakat badan. Berbeza dengan zakat harta yang memiliki syarat tertentu sama ada berbentuk jumlah atau nisab dan masa iaitu haul. Antara perbezaan ketara zakat fitrah dengan zakat-zakat yang lain yang masa kewajipan ibadah ini. Masa wajibnya zakat harta itu berbeza-beza mengikut individu, permulaan nisab serta penghasilan harta yang perlu dizakatkan manakala zakat fitrah menjelang masanya ketika Ramadan sehingga satu Syawal.

Seperti yang kita sedia maklum, zakat disyariatkan oleh Allah SWt sebagai mekanisma pengimbang atau perapat jurang antara kaya dan miskin. Kemiskinan yang berada di dalam masyarakat adalah masalah ekonomi kerana ia melibatkan keperluan sesuatu isi rumah yang tidak dapat dipenuhi yang sekaligus menyumbang kepada ketidakcukupan yang menjadi topik utama di dalam ekonomi. Setelah itu, ia perlu diagihkan kepada asnaf bagi kegunaan mereka ketika menyambut Syawal sebagaimana yang tertulis di dalam kitab-kitab fiqh berkaitan perkara ini.

Zakat fitrah pula dikenakan mengikut timbangan satu gantang makanan utama penduduk di satu tempat. Di Malaysia, harga zakat fitrah menyamai 2.7 kg beras sekitar RM 6.50 ke RM 7.00. berbeza mengikut fatwa negeri. Walaubagaimanapun, membayar zakat fitrah dengan nilai yang lebih dari sepatutnya juga adalah harus sebagaimana yang disebut oleh al-Nawawi di dalam Minhaj al-Tolibin. Menurut al-Nawawi lagi, sekiranya terdapat banyak jenis makanan utama di dalam sebuah negeri itu, memilih yang lebih mahal dan berat timbangannya adalah yang paling afdal.

Kewajipan zakat fitrah ini melengkapi penghasilan (production) dan pengagihan (distribution) di dalam setahun menjadikan keperluan orang yang susah atau fakir yang berada di dalam sesebuah negeri itu sentiasa diutamakan. Hal ini meraikan pandangan Islam bahawa masalah utama ekonomi itu bukanlah pada kekurangan sumber, tetapi pada pengagihan sumber dan dapat diselesaikan dengan pengurusan yang jelas dan telus.

Justeru, pada pensyariatan zakat fitrah ini terdapat hikmah agung yang Allah ingin sampaikan kepada manusia iaitu keadilan di dalam ekonomi yang sebenar bukanlah seperti yang didakwa oleh aliran kapitalis atau sosialis sebaliknya ialah keadilan pengagihan atau kitaran perkongsian rezki yang lestari untuk kebaikan masyarakat secara amnya.

grilled meat with sliced tomato and green vegetable on white ceramic plate
Ramadan bukan hanya sekadar mengenai lapar dan dahaga (Gambar hiasan ihsan Unsplash)

Ramadan pasca pandemik: detik kebersamaan

Berpuasa di fasa endemik adalah satu detik yang amat melegakan masyarakat Islam di Malaysia. Kemeriahan berpuasa, tarawih dan tadarus al-Quran akan merancakkan lagi semangat umat Islam bagi menyambut keberkatan bulan yang mulia ini. Berada dua tahun di dalam era pandemik banyak mengajar kita erti berkongsi dan bersimpati dengan insan yang terkesan dengan suasana dan kekangan yang berlaku, justeru semangat berkongsi dan memberi yang telah dilaksanakan sebelum ini hendaklah diteruskan dan disebar luaskan.

Sejajar dengan kemeriahan infak, derma dan menjamu berbuka puasa, kita disarankan agar tidak membazir dan berlebihan di dalam berbelanja. Tiada salahnya berbelanja pada yang perlu tetapi bukan dalam bentuk dan kuantiti yang berlebihan sehingga menjadikan bulan ini bulan pembaziran. Terdapat laporan yang menyebut lebihan makanan yang terbuang ketika Ramadan adalah seberat 20000 tan sehari, memadai untuk memberi makan kepada golongan yang memerlukan. Bagaimana Ramadan mampu mertarbiah jiwa kita yang masih bergelumang di dalam pembaziran dan berlebih-lebihan?
Sewajarnya puasa dapat mengurangkan nafsu kita sama ada ketika makan mahupun berbelanja. Hal ini akan menambahkan keserian ibadah kita dengan puasa, solat sunat, sedekah, infak, membaca al-Quran dan menghidupkan malam dengan ibadah seterusnya mengawal nafsu yang sering mengajak hamba itu kepada kejahatan.

Dengan ini, Ramadan bukanlah semata-mata ibadah, tetapi ia membawa mesej perkongsian dan bantuan kepada yang memerlukan bagi kesejahteraan sosio ekonomi yang berpotensi untuk diteruskan ke bulan seterusnya.

Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my