Oleh: Dr. Norfaezah Md. Khalid
Keluarga merupakan institusi yang amat penting dalam pembinaan sesebuah masyarakat. Keluarga adalah persekitaran pertama di mana seseorang itu dibesarkan dan membina personaliti tertentu yang menjadi pembawakan diri sepanjang hayat. Keluarga yang sejahtera adalah keluarga yang dapat berfungsi dengan baik di mana cara komunikasi, kepimpinan dalam keluarga itu sendiri, kerapatan hubungan dengan ahli keluarga dapat berlaku dalam keadaan yang sihat. Keluarga dilihat sebagai satu entiti yang saling berkait antara satu sama lain. Ibu, bapa, pasangan, anak-anak (adik-beradik) saling memberi kesan di antara satu sama lain.
Bagaimana hendak memastikan bahawa keluarga yang kita bina adalah keluarga yang sihat? Keluarga yang sihat dan sejahtera boleh dinilai melalui pelbagai aspek, salah satunya adalah dari segi kohesi atau kerapatan hubungan. Apa yang dikatakan dengan kohesi keluarga? Kohesi dalam keluarga dengan kata lain merupakan kerapatan hubungan yang memberi gambaran tentang ikatan emosi sesama ahli keluarga. Ia melihat sejauh mana kerapatan hubungan dalam keluarga boleh memberi kesan kepada kesihatan keluarga secara keseluruhan. Hubungan yang terlalu rapat dan ekstrim, mahupun yang terlalu jauh sesame ahli keluaga, akan membawa kesan kepada pembentukan sebuah keluarga yang kurang sejahtera. Kerapatan hubungan di antara ahli keluarga seharusnya berada dalam tahap seimbang, tidak terlalu rapat sehingga tiada sempadan, mahu pun tidak terlalu jauh.
Adakah keluarga kita mempunyai kohesi yang seimbang? Cuba kita perhatikan dalam keluarga kita sendiri, sama ada keluarga asal mahupun keluarga yang kita bina bersama dengan pasangan. Bagaimana sempadan yang terbentuk dalam keluarga kita? Sempadan ini merujuk kepada apakah yang boleh dan tidak boleh dalam sesebuah hubungan. Adakah kita saling menghormati hak dan privasi ahli keluarga yang lain? Bagaimana kebersamaan kita dengan ahli keluarga dalam pelbagai hal kehidupan? Sejauh mana kita meluangkan masa bersama dengan ahli keluarga? Jarak keberadaan kita dengan ahli keluarga, sejauh mana kita mengenali rakan taulan ahli keluarga kita? Siapakah yang membuat keputusan dalam keluarga, adakah terdapat seorang yang mempunyai autoriti untuk membuat keputusan, atau keputusan dibincangkan secara bersama? Adakah setiap ahli keluarga diberi ruang secukupnya untuk minat masing-masing? Aspek-aspek ini boleh dinilai untuk mendapatkan gambaran umum tentang kesejahteraan keluarga. Keluarga yang mempunyai tahap kohesi yang seimbang akan membolehkan sesebuah keluarga atau pasangan berfungsi dengan baik dalam memainkan peranan masing-masing. Ini bermaksud, setiap ahli keluarga masih dapat mengekalkan hubungan emosi yang rapat dalam keadaan yang seimbang tanpa melanggarkan hak ahli keluarga yang lain. Ahli keluarga mampu untuk berdikari dan tidak bergantung dengan ahli keluarga yang lain, dan lebih cenderung untuk mengekalkan kehidupan yang baik sepanjang kitaran keluarga.
Sebaliknya, jika keluarga kita merupakan keluarga yang kurang atau tidak seimbang dari segi kohesi, ia menggambarkan hubungan yang terlalu rapat atau terlalu jauh. Sebagai contoh, hubungan si kakak dan si adik yang terlalu rapat, bebas berkongsi apa sahaja rahsia, sehingga menyebabkan seringkali berlaku pelanggaran hak dan privasi. Keadaan ini pada awalnya mungkin dilihat sebagai sihat dan normal, namun semakin individu membesar dan keadaan ini berterusan berlaku, mungkin akan menyebabkan suatu keadaan yang lebih sukar. Anak-anak yang dididik tanpa sebarang sempadan dalam keluarga, bebas memasuki sempadan ahli keluarga yang lain, mungkin akan terbawa-bawa persekitaran tersebut apabila mereka berkahwin. Tambah sukar, apabila pasangan dibesarkan dalam keadaan persekitaran yang berbeza, ia mungkin akan menyebabkan pelanggaran hak antara satu sama lain yang lebih ekstrim. Tanpa sedar, keadaan inilah yang menyulitkan proses penyesuaian pasangan khususnya pada awal tempoh perkahwinan.
Keadaan yang tidak seimbang ini menjelaskan bahawa banyak perapatan emosi secara ekstrim wujud dalam keluarga menyebabkan ahli keluarga menjadi terlalu bergantung antara satu sama lain. Kebergantungan yang amat kuat ini adakalanya menyebabkan ruang peribadi ahli keluarga menjadi terbatas. Bagi keluarga yang hubungannya secara ekstrim tidak rapat, ahli keluarga terlalu menjarakkan diri daripada ahli keluarga yang lain sehingga mewujudkan keadaan yang tidak seimbang. Dalam situasi ini, ahli keluarga membuat hal masing-masing di samping sangat mementingkan ruang dan masa tersendiri. Ahli keluarga juga tidak mendapat sokongan dan bantuan dalam penyelesaian masalah jika berhadapan dengan satu-satu masalah. Dalam erti kata lain, keluarga tersebut tidak mempunyai sistem sokongan yang utuh khususnya apabila berhadapan dengan situasi sukar.
Secara kesimpulannya, tahap kohesi yang ekstrem sama ada terlalu tinggi atau terlalu rendah dalam keluarga, cenderung untuk mewujudkan masalah dalam hubungan pada masa hadapan. Manakala bagi hubungan kekeluargaan yang seimbang, ia membolehkan individu membentuk identiti diri yang tersendiri tanpa pergantungan sepenuhnya terhadap keluarga dalam masa yang sama masih mengekalkan hubungan mesra dengan ahli keluarga.
Namun begitu, tahap kohesi ini bukanlah suatu yang bersifat kekal, ia boleh berubah dari semasa ke semasa. Justeru, untuk memastikan keluarga yang kita bina adalah keluarga yang sejahtera, yang mampu berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan cabaran yang mendatang pada masa hadapan, kita haruslah menilai aspek kerapatan hubungan dalam keluarga sama ada ia seimbang atau sebaliknya. Langkah awal yang diambil pastinya akan memberi impak positif untuk jangka masa panjang khususnya dalam membina generasi masyarakat yang sejahtera.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di norfaezah@um.edu.my