Usaha sekumpulan penduduk di kejiranan Bayview Court, Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur yang menubuhkan kebun komuniti baru-baru ini telah diberi nafas baru dengan penglibatan penyelidik Universiti Malaya (UM). Sebuah program pemindahan ilmu yang dinamai ‘Universiti Malaya – Sustainable Gardening Campaign’ (UM-SGC) telah diadakan dengan tujaun berkongsi maklumat penyelidikan yang boleh diaplikasi oleh penduduk bagi menambahbaik usaha kebun bandar mereka.
UM-SGC merupakan anjuran Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares), dan Kementerian Pengajian Tinggi. “Program pemindahan ilmu ini diadakan bagi memberi pengetahuan dan perkongsian maklumat bagaimana untuk menjalankan aktiviti berkebun dengan konsep yang lestari. Inisiatif penduduk di sini yang dinamakan ‘Kebun-Kebun Sentosa Bayview Green Garden’ merupakan usaha yang patut dicontohi oleh komuniti lain,” kata Dr. Rosazlin Abdullah, pensyarah kanan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains UM, yang merupakan pengarah program.
Program ini merupakan program bersiri yang diadakan oleh pihak UMCares di lokasi yang telah ditetapkan di Lembah Pantai. Untuk UM-SGC di Bayview Court ini, program turut menerima kerjasama dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dan pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.
“Antara lainnya, UM-SGC cuba menerapkan kaedah berkebun yang mesra alam dan mampan kepada para peserta, menggunakan hasil daripada kajian kami di UM mengenai penggunaan semula sisa pepejal, ‘circular economy’, keselamatan makanan, dan pengurusan tanaman kebun bandar yang menyeluruh,” kata Dr. Rosazlin lagi.
Menariknya, peserta telah didedahkan kepada teknik menghasilkan baja kompos organik dari sisa makanan dan tanaman, dan juga teknik penanaman cendawan khusus untuk kebun bandar. Seramai 33 orang peserta dari Bayview Court ini turut menerima panduan mengenai jadual dan tatacara penambahan baja kepada tumbuhan bagi memastikan tumbesaran sayuran dan pokok buah-buahan yang sihat dan berkualiti.
“Saya teruja kerana berpeluang menambah ilmu bagi memastikan kebun bandar kami menghasilkan hasil yang baik dan boleh dikongsi bersama kelak. Saya juga berpeluang belajar teknik menghasilkan kokedama yang sangat cantik untuk hiasan rumah,” kata Peter Teoh, salah seorang penduduk yang menjadi peserta program UM-SGC.
Menurut Dr. Rosazlin lagi, Aktiviti pertanian merupakan jawapan terbaik untuk mengatasi masalah jaminan keselamatan makanan, selain mampu menjadi medium dalam menangani masalah kemiskinan secara tidak langsung. “Mempraktikkan aktiviti pertanian ketika tempoh PKPP atau PKPB amat digalakkan, kerana bukan sahaja dapat memberi kelangsungan sumber makanan, namun juga menambah pendapatan sampingan, dan terapi kepada ahli masyarakat yang tidak dibenarkan bergerak ke mana-mana. Inisiatif UM membantu pelaksanaan kebun bandar secara lestari oleh komuniti di Lembah Pantai akan memastikan aktiviti berkaitan dilaksanakan secara berterusan, dan memastikan manfaatnya dikongsi bersama setiap segmen masyarakat,” kata Dr. Rosazlin mengakhiri temubual.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Rosazlin Abdullah di rosazlin@um.edu.my